Tun Faisal Ibarat Kartun Serba Tahu, Kata Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 1 NOV 25 — Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dinasihatkan tidak bertindak seperti kartun yang serba tahu dengan mengulas isu yang tidak melibatkan dirinya, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ketua Bersatu Bangi yang dipecat itu mempersoalkan tindakan Tun Faisal yang bertindak seperti jurucakap lembaga disiplin Bersatu sedangkan dia tidak terlibat langsung dalam mana-mana prosiding.

“Yang terkini, dia kononnya tahu apa yang berlaku dalam sesi lembaga disiplin.

“Bagaimanakah seseorang yang bukan ahli panel prosiding atau jawatankuasa lembaga disiplin boleh mengeluarkan kenyataan mewakili lembaga tersebut?” soal Wan Saiful, dalam satu kenyataan.

Wan Saiful merujuk kepada kenyataan Tun Faisal yang menyanggah dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendedahkan lembaga disiplin cuba mengaitkan tindakan pemimpin yang dikenakan tindakan dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Hamzah merupakan sasaran sebenar di sebalik tindakan disiplin dikenakan parti terhadap pemimpin bahagian Bersatu.

Tun Faisal bagaimanapun membidas Wan Ahmad Fayhsal dengan mengatakannya sebagai tidak bertanggungjawab dan menunjukkan sikap terdesak ingin menimbulkan tanggapan negatif terhadap integriti parti.

Wan Saiful turut mempertikaikan kenyataan Tun Faisal yang seolah-olah lebih mengetahui pendirian lembaga disiplin parti meskipun tidak memegang sebarang posisi dalam badan jawatankuasa berkenaan.

“Apabila Wan Ahmad Fayhsal mengatakan bahawa sasaran sebenar lembaga disiplin parti ialah Hamzah, tiba-tiba ‘Profesor Serba Faisal’ pula menyanggah,” katanya, merujuk kartun popular dalam Majalah Gila-Gila suatu ketika dahulu.

Wan Saiful mendedahkan, ketika prosiding terhadapnya berjalan pada 8 Okt lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan berulang kali bertanyakan sama ada dia bertindak atas arahan Hamzah atau sama ada Ahli Parlimen Larut itu merupakan ‘tuan’ di sebalik tindakannya.

“Jika Hamzah bukan sasaran, kenapa soalan sebegini ditanya bertubi-tubi? Berhentilah meniru Profesor Serba Tahu sebab nanti disebabkan seorang kartun ini saja rakyat akan melihat Bersatu sudah menjadi parti gila-gila,” katanya.

“Dulu-dulu, ada satu karakter popular dalam majalah yang bernama Profesor Serba Tahu.

“Dalam Bersatu, kita pun ada satu karakter namanya Tun Faisal Ismail Aziz. Tidak ada perkara yang dia tak tahu, melainkan tahu semuanya,” sindir Wan Saiful. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share