
KUALA LUMPUR, 17 NOV 25 — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini bertindak memecat Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor bin Mustaffa, selepas Lembaga Disiplin parti memutuskan bahawa beliau melanggar peruntukan perlembagaan parti.
Dalam satu notis bertarikh 17 November 2025, yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin, Dato’ Mohd Radzi bin Manan, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Lembaga Disiplin pada 6 November 2025.
Pemecatan ini menjadikan jumlah Ketua-ketua Bahagian yang dipecat adalah seramai 6 orang.
Berdasarkan surat pemecatan, Mohd Shukor dipecat daripada semua hak keahlian parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU.
Beliau didakwa melakukan pelanggaran terhadap Fasal 9.1.4, satu kesalahan disiplin yang membawa kepada pemecatan serta-merta.
Notis itu turut menegaskan bahawa keputusan berkuat kuasa sebaik sahaja surat dikeluarkan.
Namun begitu, Mohd Shukor diberikan peluang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tersebut.
Pemecatan ini berlaku ketika parti sedang menggembleng tenaga dalam pilihan raya negeri Sabah, ini menambah satu lagi perkembangan drastik ketegangan politik dalaman parti BERSATU.
Bulan lalu, Ketua Bahagian Bangi, Datuk Wan Saiful dan Wan Fayhsal dan empat lagi Ketua Bahagian Bersatu turut dipecat termasuk Mohd Azrudin Md Idris (KB Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (KB Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (KB Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (KB Ampang). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.