
KUALA LUMPUR, 2 NOV 25 — Sebahagian besar ahli Parlimen Bersatu menyokong tindakan yang dibuat kumpulan ketua bahagian dan akar umbi parti yang menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden, dakwa Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, sokongan itu membuktikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai sokongan untuk memimpin Bersatu.
“Majoriti dua pertiga ahli parlimen Bersatu bersama kami dan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Itu menandakan kepimpinan Muhyiddin tidak lagi mampu bertahan untuk pimpin parti, hatta ahli Parlimen Mersing (Muhammad Islahuddin Abbas) dari negeri dia (Johor) tolak apa berlaku kepada saya dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan,” katanya, ketika jelajah siri Selamatkan Maruah Ahli dan Kepimpinan (Semarak) di Ampang, pagi tadi.
Wan Saiful yang juga ketua Bersatu Bangi dipecat manakala Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian selama sepenggal oleh lembaga disiplin Bersatu.
Malah, katanya tindakan itu juga disokong oleh komponen PN seperti PAS dan Gerakan.
“Satu lagi persimpangan jelas disokong PAS dan Gerakan, malah jutaan rakyat Malaysia khususnya penjawat awam,” tambahnya.
Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, kumpulan penentang Muhyiddin peringkat awalnya tidak berhasrat untuk menentang kepimpinannya dalam parti selaku presiden.
Namun, disebabkan banyak tindakan Muhyiddin tidak menggambarkan beliau wajar terus memimpin kerana sering membuat keputusan mementingkan diri sendiri.
“Tanyalah pada yang digantung dipecat. Apa kerja gila kami nak buat lawan presiden. Sejarahnya di Malaysia presiden susah nak dijatuhkan.
“Semua ketua bahagian tandatangan aurat akuan bersumpah (SD) bukan nak pecat presiden tapi nak pertahan parti buat kesilapan terbesar namakan calon perdana menteri separuh masak, maka ia akan gugat hubungan kita dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Sebelum menentang Muhyiddin secara terbuka, Wan Ahmad Fayhsal berkata, mereka berusaha menasihatinya secara tertutup.
“Kami sampai satu tahap menasihati Muhyiddin dos kawasan tertutup. Dalam perjumpaan tertutup tapi dah tak mampu dah,” katanya.
” Kita di persimpangan, nak pergi mana, kiri ikut Setiausaha Agung Datuk Seri Azmin Ali, Muhyiddin dan Ketua Penerangan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Ini orang terbukti kalah, berbagai isu kalau kita ikut jejak mereka kita jatuh gaung.”
Semalam dilaporkan ahli-ahli Parlimen Bersatu secara terbuka menghantar surat meminta Muhyiddin segera menghentikan polemik dalaman parti.
Seramai 16 ahli Parlimen tersebut menyatakan rasa khuatir rakyat melihat Bersatu sebagai parti yang lemah di mata rakyat disebabkan perpecahan yang berlaku.
Mereka beranggapan polemik dalaman Bersatu itu berpunca daripada sikap ego pemimpin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.