
KUALA LUMPUR, 7 Nov 25 — Ahli Parlimen PKR, Lee Chean Chung, memberi amaran keras kepada kerajaan supaya tidak mencabar keputusan mahkamah dalam kes kehilangan aktivis sosial Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat, yang sebelum ini didapati berpunca daripada tindakan pasukan polis.
Menurutnya, langkah Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi bukan sahaja tidak wajar, malah boleh meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.
“Apabila keputusan mahkamah telah dibuat, kita mesti hormati. Jika kerajaan sendiri tidak menghormati keputusan itu, bagaimana rakyat mahu percaya pada sistem keadilan?” tegasnya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi kepada isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew, dan isteri Amri Che Mat, Norhayati Mohd Ariffin, atas kehilangan suami mereka — dua kes yang pernah menggoncang reputasi polis Malaysia.
Namun langkah AGC untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dilihat ramai sebagai cubaan mempertahankan pihak berkuasa, walaupun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ini sudah menegaskan kedua-dua kehilangan itu melibatkan elemen “penculikan oleh polis.”
Lee menegaskan, tindakan merayu boleh dianggap sebagai cubaan melemahkan keputusan kehakiman dan memberi mesej salah kepada rakyat bahawa kerajaan tidak serius menegakkan keadilan untuk mangsa.
“Ini bukan soal politik, ini soal maruah dan keadilan. Jangan jadikan mahkamah sebagai pentas untuk menutup kesilapan institusi sendiri,” katanya lagi.
Kes kehilangan Raymond Koh pada 2017 dan Amri Che Mat pada 2016 pernah mencetuskan gelombang kemarahan awam apabila rakaman penculikan Raymond yang dilakukan secara profesional — lengkap dengan konvoi kenderaan — tersebar luas di media sosial.
Penganalisis berpendapat keputusan AGC untuk terus merayu hanya akan menambah tekanan politik kepada kerajaan Madani, yang sebelum ini berjanji untuk memperkukuh prinsip ketelusan dan hak asasi manusia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.