
KUALA LUMPUR, 4 DIS 25 — Suasana dalaman BERSATU Sabah kembali panas apabila Ketua Bahagian Lahad Datu, Ahmad Ali Akbar Khan Gulan mendakwa, Setiausaha Bersatu Negeri, Yunos Nordin memanipulasi mesyuarat dengan mendesak mereka menandatangani dokumen mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Pengerusi PN.
Dalam kenyataan bersama 7 lagi Ketua Bahagian, Ahmad Ali menjelaskan bahawa pertemuan yang sepatutnya berbentuk laporan pasca pilihan raya telah bertukar menjadi percubaan tersusun untuk mendapatkan sokongan menjatuhkan Muhyiddin.
Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja di luar tujuan asal mesyuarat, malah dianggap tidak beretika dan cubaan memanipulasi situasi pasca pilihan raya.
“Semalam barisan calon dan Ketua Bahagian telah dipanggil oleh Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah, Yunos Nordin ke Pejabat BERSATU Negeri untuk memberikan laporan pasca pilihan raya (post-mortem).
“Namun, sebaik tiba, mereka diminta menandatangani satu dokumen mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, sesuatu yang langsung tidak berkaitan dengan tujuan asal pertemuan tersebut dan amat tidak beretika.”
Menurut mereka, apa yang berlaku semalam menunjukkan adanya gerakan terancang untuk mengheret akar umbi dalam konflik kepimpinan, sedangkan fokus sebenar sepatutnya adalah menyelesaikan analisis kekalahan PRU negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.