
KUALA LUMPUR | 2 Mac 26 — Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato Paduka Dr Ibrahim Ali, mengecam keras pembunuhan Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran, Ali Khamenei, yang didakwa berlaku susulan serangan ketenteraan oleh Israel dan Amerika Syarikat.
Dalam kenyataan media semalam, beliau menyifatkan insiden tersebut bukan sekadar operasi ketenteraan, sebaliknya satu tindakan ganas yang meruntuhkan asas diplomasi antarabangsa dan mencabuli kedaulatan negara berdaulat.
“Apabila penghormatan terhadap kedaulatan dan norma diplomasi diabaikan, dunia akan kembali kepada hukum rimba, di mana yang kuat menentukan nasib pihak lain,” katanya.
Ibrahim Ali berkata pembunuhan terhadap pemimpin sebuah negara berdaulat merupakan pelanggaran serius terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Artikel 2(4) yang melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah dan kemerdekaan politik mana-mana negara.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya menghadiri majlis rasmi di Iran pada Julai 2025, termasuk solat berjemaah yang diimamkan oleh Khamenei di Kompleks Masjid dan Makam Ruhollah Khomeini, sempena ulang tahun penubuhan Republik Islam Iran. Menurutnya, kehadiran tersebut adalah atas jemputan rasmi kerajaan Iran sebagai tetamu kehormatan.
Ibrahim juga mengimbas pertemuannya dengan Khomeini di Paris pada Disember 1979 ketika kemuncak Revolusi Iran, yang menurutnya membentuk keyakinan bahawa umat Islam adalah sebuah tamadun yang berakar sejarah dan berpengaruh dalam geopolitik dunia.
Sehubungan itu, beliau menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak tegas terhadap insiden berkenaan serta menggesa negara-negara Islam melalui Organisation of Islamic Cooperation (OIC) supaya bersatu mempertahankan prinsip kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.
“Keamanan tidak boleh ditegakkan dengan peluru berpandu atau bom. Keamanan sejati hanya wujud apabila setiap negara dihormati sebagai entiti berdaulat dengan hak dan martabatnya,” katanya.
Beliau turut menyeru umat Islam dan masyarakat antarabangsa supaya menolak budaya kekerasan dalam geopolitik serta mempertahankan prinsip keadilan dan solidariti global.
“Keamanan sejati adalah hak semua, bukan peluang sesetengah,” tegasnya.
Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei disahkan terbunuh dalam serangan bersama dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada Sabtu. Agensi berita Fars memaklumkan anak perempuan, menantu dan cucunya turut terkorban dalam insiden tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.