Penyatuan Melayu Dan Kewaspadaan Terhadap Retorik Politik

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, berhubung kemungkinan UMNO menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan telah mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang melihatnya sebagai isyarat keberanian, ada yang menaruh harapan baharu.

Namun persoalan pokok yang wajar ditanya oleh orang Melayu ialah: adakah laungan ini lahir daripada keinsafan dan keikhlasan, atau sekadar retorik politik bermusim?

Hakikatnya, isu yang dibangkitkan bukanlah perkara baharu. Sejak PRU 2018 lagi, majoriti orang Melayu telah menyatakan penolakan terhadap kerjasama politik dengan DAP. Penolakan ini bukan bersifat emosional, tetapi berakar daripada pengalaman sejarah, realiti politik serta perbezaan prinsip yang jelas.

Rujukan kepada Deklarasi Setapak sahaja sudah cukup menunjukkan jurang ideologi yang ketara antara perjuangan Melayu-Islam dengan hala tuju DAP.

Atas sebab itu, tuntutan agar parti-parti Melayu bersatu sesama sendiri telah lama bergema di peringkat akar umbi, termasuk dalam UMNO sendiri. Maka adalah tidak tepat untuk melihat suara hari ini sebagai sesuatu yang baharu atau eksklusif.

Yang membimbangkan rakyat bukanlah kenyataan itu, tetapi kesudahannya. Sejarah politik UMNO penuh dengan episod di mana laungan penyatuan Melayu dan penegasan prinsip dibuat dengan lantang, namun lenyap apabila kuasa dan jawatan telah diperoleh.

Kita pernah menyaksikan tokoh-tokoh yang dahulu tegas menentang DAP akhirnya memilih berdiam diri apabila parti menyertai kerajaan yang bertentangan dengan sentimen akar umbi. Pengalaman ini menjadikan orang Melayu semakin berhati-hati. Politik kita terlalu biasa dengan pusingan mendadak: hari ini bercakap soal maruah bangsa dan agama, esok mempertahankan kerjasama yang ditentang semalam.

Lebih mendukacitakan, agama dan bangsa sering dijadikan slogan ketika berada di luar kuasa, tetapi diketepikan apabila sudah berada dalam kerajaan. Jika penyatuan Melayu benar-benar ikhlas dalam kerangka perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA), ia mesti dizahirkan melalui keputusan kolektif yang konsisten dan berprinsip, bukan sekadar kenyataan media atau ucapan konvensyen.

Orang Melayu hari ini tidak menolak perubahan, tetapi mereka menuntut kejujuran. Mereka mahu melihat tindakan, bukan retorik. Sokongan tidak boleh diberi secara membuta tuli, dan kepercayaan tidak boleh diserahkan tanpa bukti.

Jika Dr Akmal dan kepimpinan UMNO benar-benar ikhlas, buktikan bahawa ini bukan musim politik semata-mata, tetapi komitmen jangka panjang.

Penyatuan Melayu bukan milik mana-mana individu atau parti. Ia adalah amanah sejarah dan tuntutan masa depan. Jika ia dipermainkan, rakyat tidak akan lupa. Jika ia dikhianati, sejarah akan menghakimi. Berhati-hatilah dengan retorik. Nilailah dengan tindakan.

Jika benar ikhlas, kita bersyukur. Jika sebaliknya, cukuplah orang Melayu dijadikan bahan propaganda murahan — apatah lagi sehingga terkeluar ungkapan seperti “kita perlu mengenang jasa DAP.” Na‘uzubillah.

Haji Rashidi bin Haris, Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Anwar Cabar Undi Tak Percaya? Rakyat Akan Tunjuk Pada 26 Julai

Sekiranya Anwar benar-benar mahu melihat usul tersebut, beliau sewajarnya memberi laluan dan jaminan agar perhimpunan Turun Anwar dilindungi oleh pihak berkuasa dan beliau harus menarik balik sekatan kepada penjawat awam dari menyertainya. Inilah usul undi tak percaya yang sebenar jika beliau mahu melihatnya.
Read More

Perpaduan Melayu Dalam Lanskap Politik Baharu

Pelbagai inisiatif dan gagasan kini bergerak secara berasingan. Ahmad Zahid Hamidi, misalnya, mengangkat konsep “Rumah Bangsa” dalam kerangka UMNO, manakala Muhyiddin Yassin menonjolkan pendekatan tersendiri melalui gagasan Ikatan Prihatin Rakyat. 
Read More
Total
0
Share