Parti Politik Gerakan RESET

Pada 22 Mei 2025, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menggariskan gagasan Konsensus Nasional Baru dengan matlamat membina Malaysia yang lebih baik.

Seterusnya, mulai 14 Februari 2026, beliau mengetuai gerakan RESET untuk melaksanakan gagasan itu.

Konsensus Nasional Baru dan RESET hanya dapat direalisasikan dengan berkesan sekiranya mempunyai kuasa. Ini merujuk memenangi PRU16 dan membentuk kerajaan Persekutuan dan majoriti (kalaupun tidak semua) negeri.

Untuk memenangi PRU16, gerakan reset perlu memimpin sebuah parti politik.

Sesuai dengan pemikiran Konsensus Nasional Baru dan pendekatan reset, parti politik RESET harus berwajah Malaysia dan punya kejelasan (clarity) tentang peranan setiap kaum, penganut agama, lelaki, wanita dan wilayah-wilayah, iaitu selari dengan kandungan dan semangat Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Rukun Negara, sejarah dan kebudayaan kebangsaan.

Amat sukar untuk sesebuah parti memenangi PRU16 secara solo. Justeru, parti RESET sewajarnya menganggotai sebuah gabungan parti-parti politik sehaluan.

Memenangi PRU16 bukanlah mudah. Apa lagi untuk memenanginya dengan majoriti besar dan stabil, iaitu dari segi jumlah kerusi dan peratusan undi.

Jadi, wajarlah gabungan parti-parti (yang parti RESET anggotai) bekerjasama dengan parti-parti politik dan/atau gabungan parti-parti politik lain.

Ini bagi mencapai kemenangan dengan konfigurasi politik yang stabil, iaitu mendapat sokongan majoriti daripada kaum majoriti dan sokongan majoriti (atau sekurang-kurangnya sokongan signifikan) daripada kaum minoriti.

Sesungguhnya konfigurasi politik yang stabil adalah resipi utama bagi kerajaan yang stabil. Kini kerajaan tidak mempunyai konfigurasi politik yang stabil.

Kerajaan mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang selesa. Tetapi, ia mendapat sokongan minoriti daripada kaum majoriti dan sokongan majoriti daripada kaum minoriti, iaitu konfigurasi politik yang terbalik.

Ditambah dengan komposisi parti-parti kerajaan yang tidak mewakili konfigurasi yang stabil, maka tidak hairanlah apabila rakyat mula menyoal, adakah kaum majoriti benar-benar berkuasa?

Maka, berlakulah insiden pemimpin-pemimpin Melayu beriya-riya mempertahankan pesta air dan ternakan khinzir. Berlakulah keputusan tentang UEC yang dibuat senafas dengan tahfiz.

Dalam konteks ini, Hamzah tegas. Baginya ini perjuangan amar makruf nahi mungkar.

Oleh kerana tidak obsessed hendak menjadi poster boy, maka beliau telahpun mengadakan perbincangan dengan semua (dan diterima baik oleh semua), iaitu perwakilan kaum majoriti dan minoriti, terutamanya dalam usaha perpaduan Melayu yang menjaga kedudukan bukan-Melayu/minoriti.

Agar semua pihak faham kedudukan dan peranan masing-masing. Tidak boleh berlaku tirani majoriti dan/atau anarki minoriti. Rakyat majmuk harus hidup bersama dalam budaya damai, termasuk dalam politik.

Secara praktikalnya, pertama, parti RESET perlu mengoptimum kekuatan sedia ada dalam pasukannya. Antaranya, 120 mantan Ketua Bahagian BERSATU, 19 Ahli Parlimen, 20 ADUN, 200,000 bekas ahli BERSATU dan sejumlah NGO dan tokoh-tokoh masyarakat.

Kedua, menambah nilai dan meningkatkan kerjasama akrab dalam gabungan parti-parti yang dianggotainya.

Dan ketiga, menjadi jambatan menghubungkan pelbagai parti untuk meluaskan persefahaman yang compliment gabungan parti-parti yang dianggotainya.

Kelebihan Hamzah ialah beliau telahpun menjalankan ketiga-tiga langkah tersebut sejak dahulu lagi.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share