
KUALA LUMPUR | 8 Jan 26 – Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk A. Kadir Jasin mengingatkan kepentingan menghormati orang tua merupakan nilai teras yang berakar dalam kepercayaan agama dan adat resam, dan wajar terus dipelihara dalam kehidupan bermasyarakat.
Kenyataan tersebut susulan berita kemalangan yang menimpa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini.
Dr. Mahathir, yang kini berusia 101 tahun, dilaporkan terjatuh di kediamannya Selasa lalu sebelum dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut. Menurut laporan, Mahathir mengalami retak pada tulang pinggul kanan.
Kadir berkata, catatan sahabatnya di facebook bukan sahaja menggambarkan keprihatinan peribadi, malah mencerminkan perasaan ramai yang mendoakan kesembuhan Dr. Mahathir.
Mengulas lanjut, A. Kadir berkata beliau meninggalkan komen kepada catatan tersebut dengan menyatakan bahawa perasaan mengingati dan menghargai orang tua adalah sesuatu yang mendalam maknanya, khususnya apabila seseorang telah berada di usia lanjut.
“Itulah perasaan kita apabila sudah tua. Kita berasa kesementaraan, ketidakberdayaan dan keterdedahan kepada kematian,” tulisnya.
Beliau turut mengimbas fasa awal penubuhan Bersatu, di mana ramai golongan muda menyertai parti tersebut kerana kepimpinan Dr. Mahathir, yang ketika itu menjadi tokoh utama gerakan berkenaan.
Beliau turut merujuk kepada autobiografi Dr. Mahathir, A Doctor in the House, yang menggambarkan pengalaman peribadi tokoh itu mengenai perasaan terdedah kepada kematian serta penerimaan terhadap ketentuan takdir. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.