
KUALA LUMPUR | 9 Jan 26 — Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak meneruskan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terus mengundang kritikan keras apabila dua tokoh undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, mempersoalkan asas, ketelusan serta implikasi kuasa di sebalik keputusan tersebut.
Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim, menyifatkan keputusan Peguam Negara itu sebagai tidak berasaskan prinsip keadilan, sebaliknya dibuat semata-mata kerana kuasa yang dimiliki oleh institusi berkenaan.
“Keputusan itu tidak mempunyai sebarang asas lain selain hakikat bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” kata Zaid dalam kenyataan di facebook.
Beliau turut menggambarkan situasi tersebut sebagai mencerminkan politik kuasa, dengan menyatakan bahawa dunia kini memasuki fasa baharu di mana kuasa menghalalkan segala-galanya.
Zaid juga menjangkakan kerajaan Madani akan mempertahankan keputusan itu atas alasan menghormati institusi Peguam Negara, walaupun menurutnya, tidak ada Peguam Negara lain di dunia yang akan campur tangan untuk menghentikan perbicaraan apabila mahkamah telah memutuskan wujud kes prima facie.
“Ini adalah soal timbal balik. Kamu selamatkan kuasa saya, dan saya selamatkan kedudukan serta kebebasan kamu,” katanya.
Sementara itu, Ramkarpal Singh menegaskan bahawa keputusan AGC tersebut gagal menimbulkan keyakinan awam dan menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan siasatan serta proses membuat keputusan.
Menurut beliau, kes berkenaan bukanlah kes yang lemah atau tanpa dapatan, memandangkan Mahkamah Tinggi pada tahun 2022 telah memutuskan bahawa wujud kes prima facie terhadap Zahid selepas perbicaraan berjalan selama hampir empat tahun dengan keterangan ramai saksi pendakwaan.
“AGC menyatakan keputusan itu dibuat selepas semakan menyeluruh, namun tiada penjelasan sama ada dapatan prima facie Mahkamah Tinggi telah diambil kira,” katanya dalam kenyataan juga di facebook.
Ramkarpal menegaskan bahawa dapatan tersebut dibuat berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sendiri, dan secara undang-undang, tertuduh wajib menjawab serta menangkis keterangan tersebut sehingga permohonan Pelepasan Tanpa Pembebasan (DNAA) dibuat pada 4 September 2023.
Beliau menyifatkan kenyataan AGC sebagai bersifat umum dan kurang berisi, selain gagal menjelaskan mengapa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi kini seolah-olah tidak lagi membawa sebarang berat.
“Kegagalan AGC memberikan penjelasan yang memuaskan berkemungkinan akan terus menghakis keyakinan awam terhadap institusi itu,” katanya.
Kritikan daripada kedua-dua tokoh ini menjadikan keputusan menghentikan prosiding terhadap Zahid bukan lagi sekadar isu teknikal perundangan, tetapi persoalan besar mengenai penggunaan kuasa, integriti institusi dan komitmen kerajaan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.
Semalam, Jabatan Peguam Negara memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) berhubung siasatan kes melibatkan Yayasan Akalbudi, selepas meneliti keseluruhan kertas siasatan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut kenyataan rasmi JPN, keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan dan penilaian menyeluruh pada peringkat awal pendakwaan, termasuk kesesuaian serta kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan dan kebolehlaksanaan untuk meneruskan prosiding. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.