Hanya Pengkhianat Pertahankan Perjanjian Anwar-Trump – Kata Mahathir

Foto – Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 13 DIS 25 — Kumpulan yang mempertahankan Perjanjian Anwar-Trump (Tarif Timbal Balik Malaysia dan Amerika Syarikat, adalah pengkhianat kerana ianya menggadai kedaulatan negara, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu menegaskan pengkhianat itu tidak sedar walaupun kononnya ada garis merah dikatakan telah ditetapkan dalam perjanjian Anwar-Trump, AS tidak akan pernah sesekali mematuhinya.

“Ada pengkhianat bangsa dan negara yang terus mempertahankan perjanjian Anwar-Trump  ini sedangkan rata-rata, pemikir-pemikir di dalam negara, termasuk yang bukan Melayu, sedar bahawa perjanjian ini menggadai kedaulatan kita.  

“Ada di kalangan pengkhianat ini yang dengan bongkak menyatakan Malaysia telah menetapkan garisan merah yang tidak boleh dilanggar oleh Amerika Syarikat di dalam perjanjian Anwar-Trump tersebut terutama berkaitan dengan kepentingan Melayu/Bumiputera.  

“Kenyataan ini langsung tidak masuk akal. Sejak bila Amerika Syarikat ambil peduli kepada apa juga syarat atau garisan merah yang ditetapkan oleh negara lain. Ketetapan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi paling tinggi di dunia itu pun di langgar dan ada-kalanya dipijak-pijak oleh Amerika Syarikat,” kata Dr Mahathir.

Negarawan itu berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Melayu 153 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Saloma, di ibu negara pagi tadi.

Katanya, adalah mustahil AS akan mematuhi syarat yang tidak menguntungkan mereka.

Jelas Dr Mahathir, pendiriannya tetap teguh dalam mempertahankan penentangan terhadap langkah kerajaan itu walaupun dituduh dengan pelbagai tohmahan.

“Selagi garisan merah dan syarat-syarat itu tidak menguntungkan AS, mereka telah bukti zaman berzaman mereka tidak akan patuhi.  

“Saya dituduh cuba menakutkan rakyat berkait dengan perjanjian Anwar-Trump ini. Benar rakyat dan orang Melayu terutamanya perlu takut dengan penjajahan semula,” kata Dr Mahathir.

Beza antara Malaysian Union dan perjanjian Anwar-Trump katanya adalah, kali ini, perjanjian Anwar-Trump atau Malayan Union ke-2 ini disokong oleh pengkhianat bangsa kita sendiri.  

“Betul, rakyat perlu takut. Tetapi bagi saya yang sebenarnya lebih takut ialah pengkhianat bangsa yang kini sedar, kita tahu apa yang mereka telah lakukan iaitu bersekongkol dengan penjajah dan membuka pintu untuk mereka menjajah kita,” katanya.

Tumpuan utamanya kata Dr Mahathir dalam perjuangan ini adalah untuk menyeru orang Melayu mempertahankan kedudukan sebagai bangsa teras walaupun seringkali dihina.

“Walaupun seruan saya telah diejek dan dihina sebelum ini, saya tetap menyeru kepada orang Melayu untuk kembali bersatu dan pertahankan kedudukan kita sebagai bangsa teras negara ini.  

“Saya tidak minta dihormati atau disanjung. Kejilah dan hinalah. Saya cuma minta orang Melayu bersatu demi masa depan bangsa, agama dan tanah air,” tambahnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share