Biar Lembaga Disiplin Bersatu Siasat – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 4 Okt 25 – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua anggota Bersatu bertenang dan beri ruang siasatan dalaman dilakukan Lembaga Disiplin berhubung krisis membabitkan pimpinan parti..

Muhyiddin menegaskan, badan itu diberi kuasa dan mandat untuk menyiasat dengan adil berlandaskan Perlembagaan Bersatu.

“Saya amat memahami keresahan dan kegusaran yang sedang dirasai oleh ahli-ahli Bersatu berhubung dengan cabaran yang sedang kita hadapi.

“Dalam suasana seperti ini, perkara paling penting ialah kita kekal bertenang, berdisiplin dan yakin bahawa segala isu akan diuruskan melalui saluran parti yang sah,” katanya, dalam satu kenyataan petang tadi.

Muhyiddin juga memberi peringatan musuh politik Bersatu akan mengambil kesempatan atas krisis yang berlaku.

“Sebarang tindakan luar daripada saluran ini hanya akan melemahkan parti dan memberi ruang kepada musuh politik kita,” katanya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan minggu lalu mendedahkan maklumat baharu diterimanya mendakwa siasatan forensik terhadap video tular membabitkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Sandakan, Sabah pada 2019 adalah tulen.

Dalam sidang media tersebut, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa, Azmin tidak layak untuk menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video itu tidak diselesaikan.

Wan Saiful turut mengakui mengumpul 120 akuan bersumpah (SD) ketua bahagian parti agar isu berkaitan calon perdana menteri tidak dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu.

Beliau menafikan SD itu bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai presiden Bersatu, sebaliknya hanya untuk menyokong MPT memberi mandat kepada Muhyiddin bagi menyusun pelan peralihan parti.

Susulan itu, beberapa pihak dari pimpinan cawangan dan bahagian mendesak Wan Saiful dikenakan tindakan pecat dari Bersatu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share