Presiden Perkasa Kecam Gerakan Pecat Hamzah, Kritik Ketua PN Selangor

KUALA LUMPUR | 12 Jan 26 — Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali, mendakwa terdapat gerakan dalaman dalam Bersatu untuk melemahkan pengaruh Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menjelang Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini. Gerakan itu dikatakan bertujuan memastikan agenda pimpinan tertentu untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dapat direalisasikan.

Menurut Syed Hassan, pengaruh Hamzah dalam kepimpinan tertinggi Bersatu kini tidak lagi majoriti selepas ramai Ahli Majlis Parti Tertinggi (AMPT) yang menyokong beliau dipecat lebih awal. Hamzah dilihat sebagai penghalang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) untuk menjadi Perdana Menteri kali kedua, manakala Tan Sri Azmin Ali dijangka mengambil alih kedudukan Timbalan Presiden.

“Kalau benar Hamzah dipecat malam ini, saya tidak hairan kerana agenda tertentu dalam parti mahu dilaksanakan tanpa halangan beliau. Namun saya percaya Hamzah akan kekal sebagai Ketua Pembangkang kerana keputusan itu bukan hak gabungan parti, tetapi hak setiap Ahli Parlimen untuk memilih,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Hassan juga menegaskan, jika Hamzah dipecat, majoriti Ahli Parlimen Bersatu dijangka akan keluar parti dan menjadi MP Bebas sehingga PRU16, sekali gus melemahkan kuasa Bersatu dalam menentukan kepimpinan dan memberi isyarat bahawa parti itu kini lebih bertindak sebagai wadah kepentingan individu tertentu.

Dalam konteks itu, PERKASA menegaskan peranannya sebagai NGO Melayu untuk memastikan parti Melayu yang bersih dan bermoral terus berkuasa, dan menafikan sebarang tuduhan campur tangan secara politik.

“Perkasa masuk campur dalam urusan politik semua parti demi memastikan Melayu berkuasa dengan lebih besar,” katanya.

Selain isu dalaman Bersatu, Syed Hassan turut mengkritik ketua pembangkang PN di Selangor kerana membisu berhubung isu kontroversi ladang babi yang memurkakan YAM Tuanku Sultan Selangor, serta program LGBT di Hulu Langat, menimbulkan keraguan terhadap kesungguhan pimpinan tertentu dalam menjaga kepentingan Islam dan Melayu.

Sultan Selangor baru-baru ini memberi titah murka berhubung isu ladang penternakan babi yang akan dijalankan tahun ini, sebelum ini Baginda juga murka mengenai isu kekotoran dan sampah yang di sekitar Selangor. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share