
KUALA LUMPUR | 14 Jan 26 — Titah tegas Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung isu projek ladang babi, pengurusan sisa pepejal serta penganjuran aktiviti songsang bukan sahaja mencerminkan keprihatinan mendalam Istana terhadap kesejahteraan rakyat, malah secara tidak langsung menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan peranan institusi pembangkang di negeri itu.
Mantan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali, berkata titah Tuanku seharusnya menjadi pemangkin kepada tindakan institusi, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN), bukannya sekadar reaksi awam yang bersifat sementara.
Menurut beliau, dalam sebuah sistem demokrasi berperlembagaan, pembangkang berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang utama, bertanggungjawab membawa isu-isu kepentingan awam ke medan perbahasan dan penelitian secara berfakta serta berprinsip.
“Apabila isu-isu besar yang menyentuh integriti, tatakelola dan kesejahteraan rakyat gagal diterjemahkan secara konsisten dalam kerangka institusi, ia bukan sahaja menghakis keyakinan rakyat, malah melemahkan fungsi pembangkang itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Suhaimi menegaskan bahawa isu-isu awam tidak seharusnya bersifat bermusim atau terikat kepada kepentingan politik kepartian, sebaliknya perlu diperjuangkan secara berterusan melalui saluran sah legislatif.
Tambah Suhaimi, pembangkang tidak boleh dilihat bersifat pasif atau sekadar memenuhi keperluan prosedur, kerana kelemahan pengawasan akan mewujudkan kekosongan institusi yang akhirnya memberi kesan kepada kestabilan demokrasi negeri.
“Selangor bukan sekadar memerlukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, tetapi juga pembangkang yang tegas, konstruktif dan setia kepada amanah rakyat,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, Sultan Selangor murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.