
KUALA LUMPUR | 29 Jan 26 — Peguam Kanan, Haniff Khatri, menegaskan bahawa penggunaan istilah “kuil haram” atau “rumah ibadat haram” adalah tepat dari sudut bahasa perundangan dan tidak wajar dipersoalkan atas alasan sensitiviti, seperti yang dibangkitkan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.
Menurut beliau, polemik yang tercetus susulan pendedahan beberapa kes pembinaan struktur rumah ibadat secara menyalahi undang-undang di tanah awam dan persendirian telah mengalihkan fokus sebenar isu, apabila terdapat pihak tertentu cuba mempertikaikan istilah yang digunakan media.
Haniff merujuk kenyataan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman, yang dilaporkan media pada 26 Januari lalu, agar istilah “kuil haram” atau “tokong haram” tidak digunakan kerana didakwa bersifat menghukum dan tidak sensitif terhadap masyarakat majmuk.
Bagaimanapun, Haniff menegaskan bahawa kritikan tersebut berpunca daripada salah faham terhadap maksud sebenar istilah perundangan.
“Istilah ‘kuil haram’ merujuk kepada ketidakpatuhan undang-undang dalam pembinaan atau kewujudan struktur fizikal, bukan merujuk kepada agama, kepercayaan atau anutan itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menekankan bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan mempunyai disiplin makna yang jelas, khususnya dalam konteks undang-undang, dan tidak boleh ditafsir secara longgar sehingga mengaburkan maksud sebenar sesuatu istilah.
Menurut Haniff, adalah tidak wajar sensitiviti kaum atau agama digunakan untuk menggadaikan ketepatan bahasa perundangan, kerana tindakan sedemikian boleh mencetuskan kekeliruan awam serta menjejaskan kefahaman terhadap prinsip undang-undang.
“Sekiranya istilah ini difahami dengan betul, sensitiviti yang dibangkitkan secara salah tidak sepatutnya timbul,” tegasnya dalam kenyataan, semalam.
Mengakhiri kenyataannya, Haniff mengingatkan bahawa perbahasan awam seharusnya tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang dan penyelesaian isu, bukannya mempertikaikan istilah yang sudah jelas maksudnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.