Krisis PN: Dewan Ulamak Serah PAS Pusat Buat Keputusan Isu BERSATU

KUALA LUMPUR | 3 Jun 26 – PAS Pusat diminta memutuskan isu berkaitan hala tuju serta konflik melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya mengambil serius perkembangan yang berlaku dalam BERSATU kerana ia dilihat boleh memberi kesan terhadap kekuatan, kestabilan serta keyakinan terhadap PN.

Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan masa depan hubungan politik dalam PN perlu dibuat berdasarkan prinsip perjuangan PAS dan kepentingan penyatuan ummah.

“PAS akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendukung agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok,” katanya.

Susulan itu, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan untuk menyerahkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan yang dianggap sesuai.

“Selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti,” katanya.

Hubungan PAS dan BERSATU sebelum ini dilihat semakin renggang susulan beberapa kenyataan terbuka pimpinan kedua-dua pihak yang menyentuh soal kerjasama politik, strategi pilihan raya serta pengurusan gabungan.

Kemuncak ketegangan berlaku apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengkritik BERSATU dengan mendakwa terdapat kelemahan dalam pendekatan parti itu ketika menghadapi pilihan raya.

Menurut Abdul Hadi, ketika pilihan raya berlangsung, BERSATU didakwa menampilkan lebih ramai calon berbanding jumlah petugas yang mampu menggerakkan jentera, sekali gus memberi kesan terhadap keberkesanan kempen.

Beliau turut memaklumkan bahawa hubungan PAS dan BERSATU akan dikaji semula dan perkara tersebut akan diteliti oleh Majlis Syura Ulama PAS.

Selain itu, ketegangan tersebut turut dikaitkan dengan beberapa perkembangan politik melibatkan komponen PN termasuk isu pertukaran Menteri Besar Perlis yang mencetuskan perbezaan pandangan antara kedua-dua parti.

Perkembangan ini menjadikan PAS sebagai pihak penting dalam menentukan masa depan PN, ketika gabungan itu berdepan cabaran dalaman sebelum menghadapi fasa politik seterusnya.

Keputusan PAS Pusat selepas menerima mandat daripada Majlis Syura Ulama kini menjadi perhatian, sama ada hubungan PAS-Bersatu dalam PN akan diteruskan seperti biasa, disusun semula atau memasuki episod baharu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share