
KUALA LUMPUR | 14 Jan 26 — Pemuda Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) menafikan mereka pernah memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), susulan laporan media semalam.
Dalam kenyataannya, Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Andy Tan Hum Wei, menegaskan bahawa pertemuan pemangku Ketua Pemuda Gerakan bersama Muhyiddin semalam hanya diadakan atas jemputan rakan-rakan sayap Pemuda dalam PN, bertujuan mendapatkan gambaran serta perkembangan semasa politik gabungan tersebut. Ia tidak membawa sebarang mandat rasmi organisasi atau keputusan rasmi parti.
Andy berkata, Pemuda Gerakan tetap berpegang kepada prinsip bahawa sebarang keputusan berkaitan kepimpinan tertinggi PN termasuk peletakan jawatan atau pemilihan semula Pengerusi, perlu dirujuk dan diputuskan melalui saluran rasmi parti oleh Presiden Nasional Gerakan.
Kenyataan itu menjawab laporan yang mendakwa tiga ketua sayap Pemuda parti komponen PN telah mencadangkan agar Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kekal sebagai pengerusi PN.
Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Ketua Pemuda Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran; Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham; dan pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian.
Terdahulu Andy turut menegaskan bahawa Pemuda Gerakan menghormati saf kepimpinan sayap Pemuda PN di bawah Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, dan sebarang tindakan susulan akan berteraskan semangat setiakawan dan komitmen mengekalkan kerjasama dalam kalangan rakan-rakan PN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.