
KUALA LUMPUR, 26 Jun 25 – PAS menyifatkan pandangan yang dikongsi oleh individu berkenaan mengenai Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim yang baru dinaikkan pangkat, adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili parti.
Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan menegaskan, ia memandang serius kontroversi tersebut yang mana ia menggambarkan tingkah laku tidak sensitif yang menjejaskan keharmonian negara.
“Pas komited dan menjunjung tinggi prinsip dan realiti kepelbagaian kaum dan kepercayaan sebagai ciri unik dan berharga masyarakat kita yang perlu dipupuk dengan sebaik-baiknya.
“Komitmen ini terakam dalam sejarah PAS sejak awal, selain terpancar dalam banyak inisiatif dan aktiviti parti yang tidak pernah kenal lelah,” jelasnya.
Menurutnya, pelantikan Lim sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan pencapaian bersejarah yang wajar diraikan, bukan dipersoal atau diperlekehkan.
“Setiap pencapaian anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama, adalah kejayaan bersama yang perlu dihargai,” katanya lagi.
Sehubungan itu, PAS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana ahli yang melanggar peraturan atau mencemarkan cita-cita perpaduan nasional.
Pada Selasa, Ketua Pas Sungai Buloh Zaharudin Muhammad membuat catatan di Facebook mempertikaikan pelantikan Lim yang baru dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam perkhidmatan ATM. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.