
KUALA LUMPUR | 16 Jan 26 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Dr Mohd Yadzil bin Yaakub, berkata dakwaan serius yang dibuat secara terbuka oleh Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Badrol Hisham Shaharin atau CheguBard, telah menimbulkan kekeliruan dan persoalan dalam kalangan ahli serta penyokong parti.
Menurut beliau, dakwaan yang mengaitkan kepimpinan tertinggi parti dengan isu rasuah bernilai ratusan juta ringgit tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada seorang pemimpin parti sendiri dan dibuat secara terbuka di hadapan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Apabila dakwaan seumpama ini dibuat oleh orang dalam parti, implikasinya bukan sahaja tertumpu kepada individu yang dinamakan, tetapi turut memberi kesan besar terhadap imej, integriti dan kredibiliti parti secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Yadzil berkata antara persoalan utama yang berlegar dalam kalangan ahli ialah dakwaan mengenai kewujudan bayaran berjumlah RM10 juta seperti yang disebut oleh CheguBard, selain isu pembatalan Surat Niat (Letter of Intent, LOI) konsesi berkenaan pada tahun 2020.
Beliau menegaskan bahawa kekeliruan ini menyukarkan ahli parti untuk memberikan penjelasan yang meyakinkan kepada masyarakat sekiranya tiada sebarang penjelasan rasmi atau tindakan tegas diambil oleh pihak berkaitan.
Sehubungan itu, Yadzil berpandangan bahawa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, wajar tampil memberikan penjelasan bagi meredakan kekeliruan serta mempertahankan integriti kepimpinan parti, khususnya apabila dakwaan tersebut melibatkan keluarga terdekat Presiden.
Menurut beliau lagi, kegagalan menangani isu ini secara berhemah dan berprinsip hanya akan membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengeksploitasi dakwaan berkenaan sebagai bahan kempen politik, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya akan datang.
Dalam masa yang sama, Yadzil turut berpandangan bahawa tindakan undang-undang wajar dipertimbangkan sekiranya dakwaan yang dibuat didapati tidak berasas, bagi melindungi maruah individu dan institusi parti.
Baru-baru ini, Chegubrad dalam satu sidang media telah menggesa SPRM untuk menyiasat dakwaan mengenai skandal spanco yang dikatakan terkait dengan menantu Muhyiddin Yassin.
Berdasarkan laporan terdahulu, sejak 1993, Spanco merupakan satu-satunya syarikat yang memegang konsesi pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan.
Bagaimanapun, apabila kontrak tersebut tamat pada tahun 2019, satu tender terbuka telah dilancarkan bagi penganugerahan kontrak seterusnya. Kumpulan Berjaya dan Naza kemudian membentuk satu konsortium dan memperoleh kontrak tersebut melalui Surat Niat (Letter of Intent, LOI) pada tahun berkenaan. Namun, LOI itu telah ditamatkan pada tahun 2020 dan tender tersebut kemudiannya dianugerahkan semula kepada Spanco.
Pada Julai tahun lalu, pengasas Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan dan Spanco berhubung penamatan LOI tersebut, dengan mendakwa bahawa kontrak berkenaan dianugerahkan kepada Spanco walaupun harga yang ditawarkan oleh syarikat itu adalah lebih tinggi.
Susulan perkembangan itu, SPRM telah membuka siasatan terhadap isu berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.