
KUALA LUMPUR | 24 Jan 26 – PAS menolak naratif propaganda yang mendakwa parti itu buntu mencapai persetujuan bagi mengemukakan calon pengerusi Perikatan Nasional (PN), sekali gus membuka laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus kekal menerajui gabungan berkenaan.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, menegaskan laporan media yang berlegar ketika ini tidak berasas dan dibina berlandaskan sumber propaganda yang disengajakan untuk membentuk persepsi tertentu.
“Sumber propaganda. Tak boleh pakai (laporan berkenaan),” katanya ketika dihubungi FMT.
Penafian itu dibuat susulan laporan Utusan Malaysia semalam, yang memetik sumber PAS mendakwa Muhyiddin mungkin terus kekal sebagai pengerusi PN walaupun telah meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menurut laporan berkenaan, PAS didakwa masih bergelut untuk mencapai persetujuan dalaman berhubung calon pengganti, sekali gus mencetuskan gambaran seolah-olah parti itu ketandusan tokoh yang layak menerajui PN.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menyatakan kesediaannya untuk menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS, namun menegaskan pendirian partinya bahawa pengerusi PN seterusnya perlu terdiri daripada presiden parti komponen gabungan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.