
KUALA LUMPUR | 8 Apr 26 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menggunakan helikopter untuk meninjau kawasan perbatasan Pulau Batu Putih, ketika rakyat diminta mengamalkan penjimatan penggunaan bahan api.
Merujuk kepada video ucapan Perdana Menteri yang menggesa rakyat berjimat cermat termasuk mengurangkan penggunaan minyak dan mempertimbangkan amalan bekerja dari rumah, Wan Fayhsal menyifatkan pendekatan tersebut sebagai tidak konsisten dengan tindakan kepimpinan tertinggi negara.
“Kalau sekadar nak tengok perbatasan, boleh sahaja tengok melalui Google Maps,” katanya sinis, sambil mempersoalkan keperluan lawatan fizikal yang menurutnya melibatkan kos bahan api yang tinggi.
Beliau mendakwa penggunaan helikopter bagi perjalanan ulang-alik dari Johor Bahru ke Pulau Batu Putih boleh mencecah antara 100 hingga 150 liter bahan api, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keutamaan kerajaan dalam mengurus sumber tenaga.
Menurut Wan Fayhsal, dalam situasi semasa yang menyaksikan tekanan terhadap bekalan tenaga global susulan konflik antarabangsa termasuk ketegangan melibatkan Iran, kerajaan sepatutnya menunjukkan teladan terbaik kepada rakyat.
“Rakyat diminta berjimat, kurangkan penggunaan minyak, malah disaran bekerja dari rumah. Tetapi pemimpin sendiri gagal ‘walk the talk’,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa soal penjimatan tidak boleh hanya dibebankan kepada rakyat semata-mata tanpa komitmen yang sama daripada pihak kerajaan, khususnya dalam konteks perbelanjaan melibatkan sumber tenaga.
Kenyataan tersebut dijangka menambah perbahasan awam mengenai konsistensi dasar kerajaan Madani, terutama dalam usaha menangani cabaran kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘melawat’ pulau Batu Puteh bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semalam. Azalina berkata, beliau bersama Anwar menaiki helikopter untuk melihat Pulau Batu Puteh. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.