
KUALA LUMPUR | 30 Jan 26 — Perikatan Nasional (PN) kini berdepan krisis dalaman paling serius sejak penubuhannya apabila PAS dilihat hanya selangkah lagi untuk keluar daripada gabungan itu, susulan isyarat boikot politik yang semakin jelas terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas wartawan yang kini aktif menjadi hos podcast Zaid Ibrahim, Shahbudin Husin berpedapat bahawa ketidakhadiran Presiden PAS adalah isyarat paling ketara.
Menurutnya, ketidakhadiran itu berlaku tanpa sebarang penjelasan rasmi dan dilihat sebagai mesej politik yang kuat daripada PAS, parti terbesar dalam PN dengan jumlah Ahli Parlimen paling ramai.
“Dengan ketidakhadiran Haji Hadi malam tadi sebagai mewakili PAS yang merupakan parti terbesar dalam PN serta mempunyai jumlah Ahli Parlimen teramai, bolehlah disimpulkan idea Muhyiddin untuk mengubah struktur PN bakal menemui jalan buntu. Katanya.
Satu pertemuan presiden-presiden parti komponen PN berlaku di kediaman Muhyiddin, malam tadi, namun pertemuan tersebut hanya dihadiri oleh tiga Presiden parti iaitu Muhyiddin (BERSATU), Dominic Lau (Gerakan) dan P. Punithan (MIPP).
Shahbudin melihat tindakan Abdul Hadi itu bukan bersifat kebetulan, sebaliknya satu isyarat penjarakan strategik PAS daripada sebarang usaha yang dipimpin Muhyiddin, khususnya berkaitan cadangan mengubah struktur PN.
Ia mengukuhkan tanggapan bahawa PAS kini memilih untuk tidak lagi memberi legitimasi politik kepada perbincangan yang dianjurkan Presiden BERSATU itu.
“Adalah sukar untuk Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang telah meletak jawatan untuk mengubah struktur PN jika tanpa persetujuan, apa lagi kalau dibantah oleh PAS.
Perkembangan ini berlaku hanya dua hari selepas Abdul Hadi secara bertulis menolak cadangan Muhyiddin untuk mengubah struktur PN, termasuk usaha mengukuhkan Majlis Presiden, menubuhkan Majlis Eksekutif serta memansuhkan jawatan Pengerusi PN.
Namun PAS secara tegas mahukan struktur sedia ada dikekalkan, satu pendirian yang bercanggah langsung dengan hala tuju yang dicadangkan oleh Muhyiddin.
“Jika beliau berkeras juga dengan ideanya ingin mengubah struktur PN, pilihan yang hampir pasti berlaku ialah PAS akan keluar daripada gabungan tersebut.
“Ketidakhadiran Haji Hadi malam tadi adalah petanda PAS hanya selangkah saja lagi, bahkan sudah berada di ambang pintu untuk keluar PN. Katanya.
Dalam konteks ini, ketidakhadiran Abdul Hadi ke mesyuarat malam tadi bukan sekadar simbolik, tetapi amaran politik terbuka bahawa PAS kini benar-benar berada di ambang pintu keluar PN. Segala-galanya kini tertumpu kepada langkah seterusnya Muhyiddin, sama ada terus memaksakan perubahan struktur yang dipertikaikan, atau mengalah demi mengekalkan PAS dalam gabungan yang semakin rapuh. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.