
KUALA LUMPUR | 4 Feb 26 — Dato Seri Rafizi Ramli dijangka sukar mengelak daripada memberi maklum balas terhadap tawaran kerjasama yang dikemukakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, bagi menghidupkan semula Rang Undang-Undang Persendirian pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang pernah beliau sendiri cadangkan pada 2015.
Wan Saiful berkata, beliau sebelum ini telah mengajak Rafizi secara terbuka di Dewan Rakyat supaya membentangkan semula RUU berkenaan, malah menawarkan diri untuk menjadi pengusul bersama sekiranya diperlukan.
Menurut beliau, tawaran itu turut dibuat secara rasmi melalui surat kepada Ahli Parlimen Pandan minggu lalu, sebagai tanda kesediaan pembangkang untuk bekerjasama secara rentas parti dalam agenda reformasi institusi.
“Saya telah mengutus surat rasmi kepada YB Dato Seri Rafizi Ramli bagi menawarkan usaha bersama ini,” katanya.
Wan Saiful turut memaklumkan bahawa beliau sempat mengadakan pertemuan ringkas dengan Rafizi di Dewan Rakyat bagi mengulangi jemputan ke arah kerjasama tersebut.
“Saya amat berharap agar YB Dato Seri Rafizi sudi menerima jemputan ini,” katanya lagi.
Menurut Wan Saiful, sekiranya terdapat sebarang kekangan yang menghalang Rafizi daripada meneruskan pembentangan RUU tersebut, beliau turut mencadangkan agar draf sedia ada dikongsikan untuk tindakan lanjut di Parlimen.
Cadangan pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sering dikaitkan dengan usaha memperkukuh sistem semak dan imbang serta meningkatkan tahap akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negara.
Pemerhati politik melihat langkah Wan Saiful itu sebagai usaha meletakkan tekanan moral dan politik ke atas kerajaan agar komitmen reformasi institusi yang sering dilaungkan sebelum ini diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar wacana. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.