
PARLIMEN | 5 Feb 26 – Pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan telah diperuntukkan secara jelas dalam Akta Ibu Kota Persekutuan, tegas Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika membangkitkan persoalan mengenai hala tuju dasar kerajaan Persekutuan berkaitan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut beliau, Seksyen 6.1 Akta Ibu Kota Persekutuan menetapkan bahawa Datuk Bandar merupakan ketua pentadbiran Kuala Lumpur dan pelantikannya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Seksyen 6.1. Datuk Bandar hendaklah menjadi pihak yang menguruskan Bandar Raya Kuala Lumpur dan beliau telah dilantik oleh Yang Diputuan Agong. Ini adalah dalam akta ini. Jelas di sini bahawa pelantikan Datuk Bandar adalah oleh Yang Diputuan Agong. Katanya dalam sidag media di Parlimen, hari ini.
Struktur ini, katanya, berbeza sepenuhnya dengan negeri-negeri lain yang mempunyai Dewan Undangan Negeri, EXCO serta ahli majlis pihak berkuasa tempatan.
Takiyuddin turut menjelaskan bahawa DBKL tidak mempunyai majlis PBT seperti di negeri lain, sebaliknya hanya dibantu oleh Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Berdasarkan Seksyen 7 akta sama, lembaga penasihat tersebut juga dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pewartaan, sekali gus menunjukkan keseluruhan struktur pentadbiran Kuala Lumpur berada di bawah kuasa pelantikan Seri Paduka Baginda.
“Jadi kata kunci di sininya, Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik oleh Yang Diputus Agong, lembaga penasihat Dewan Bandar Kuala Lumpur yang menasihati Datuk Bandar juga dilantik oleh Yang Diputus Agong. Katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada kerajaan telah menjalankan sebarang kajian untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan bagi mengalihkan kuasa pelantikan Datuk Bandar dan lembaga penasihat DBKL kepada mekanisme lain, sambil memberi amaran bahawa sebarang langkah sedemikian perlu diteliti dari sudut perlembagaan dan perundangan.
“Persoalannya, adakah kajian dibuat untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan ini untuk menghapuskan kuasa yang ada, kuasa pelantikan yang ada kepada Datuk Bandar DBKL dan juga lembaga penasihat DBKL ini daripada Yang Dipertuan Agong kepada cara-cara lain? Soalnya.
Takiyuddin turut mengingatkan bahawa Akta Kerajaan Tempatan 1976, khususnya Seksyen 15(1), secara jelas menyatakan semua peruntukan berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan telah terhenti kuat kuasa, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa kerajaan Persekutuan didakwa terus mengemukakan dasar yang bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeohberkata kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Beliau turut memaklumkan, kajian tersebut dijalankan sejak Disember lalu, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, dengan tujuan melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.