
KUALA LUMPUR | 9 Feb 26 — Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, secara terbuka mencabar kepimpinan parti supaya memecat Datuk Seri Hamzah Zainuddin jika benar terdapat hasrat sedemikian sejak sekian lama.
Dalam satu kenyataan keras di facebook, semalam, Wan Fayhsal mendakwa usaha menyingkirkan Hamzah bukan isu baharu, sebaliknya agenda tertangguh yang didiamkan selama hampir tiga tahun tanpa keberanian politik untuk dilaksanakan secara terbuka.
“Jika mahu pecat, pecat betul-betul. Jangan baling batu sembunyi tangan,” tegas beliau, merujuk kepada apa yang disifatkannya sebagai permainan dalaman menggunakan pihak ketiga dan ‘orang suruhan’ bagi menyerang kepimpinan tertentu dalam parti.
Wan Fayhsal turut mempersoalkan maruah kepimpinan tertinggi BERSATU apabila mendakwa parti itu kini berada di bawah pengaruh pihak luar, termasuk kerajaan Madani, sehingga menyebabkan keputusan strategik dibuat secara tidak bebas.
“Mana ada maruah kalau dah kena pegang dengan puak Madani,” katanya.
Beliau turut mempertahankan perjuangan berprinsip, bukan soal individu atau jawatan, dengan menegaskan bahawa tindakan itu selari dengan tuntutan amar ma’ruf nahi mungkar demi mempertahankan rukun perjuangan agama, bangsa dan tanah air (ABATA) dalam BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).
Wan Fayhsal bagaimanapun memberi bayangan bahawa beliau dan kumpulannya bersedia menanggung apa sahaja akibat politik sekiranya pendirian tersebut membawa kepada tindakan disiplin, termasuk pemecatan.
“Jika ini harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan prinsip perjuangan, kami alu-alukan,” katanya.
Kenyataan terbuka itu boleh dianggap sebagai cabaran langsung terhadap Presiden BERSATU untuk membuat keputusan muktamad, sama ada meneruskan tindakan terhadap Hamzah secara terbuka meletakkan jawatan sebagai Presiden.
Semalam, Ketua Bahagian BERSATU Raub, Dato’ Haji Mohd Fakrunizam Ibrahim turut membuat kenyataan terbuka mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan dan memecat Azmin Ali, Faizal Azumu serta Tun Faisal.
Pada masa yang sama, AHli Parlimen Indera Mahkota dalam satu kenyataan menyifatkan BERSATU sedang “reput dari dalam” akibat tindakan penyokong Presiden parti itu sendiri, termasuk kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwanya telah hilang kelayakan untuk terus memimpin parti menjelang PRU16. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.