
KUALA LUMPUR | 12 Feb 26 – Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terus memuncak apabila Bahagian Lembah Pantai secara terbuka menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat daripada jawatan Presiden demi memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini.
Dalam kenyataan media, hari ini, bahagian itu menegaskan gesaan tersebut bukan tindakan derhaka atau konspirasi, sebaliknya langkah strategik bagi menjaga imej dan kestabilan parti menjelang PRU-16.
“Gesaan supaya Presiden berehat adalah dengan penuh hormat supaya beliau dapat memberi tumpuan kepada kes mahkamah. Ini bukan pengkhianatan tetapi langkah berhemah demi kelangsungan parti,” menurut Ketua Bahagian, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Dalam nada lebih tegas, beliau turut memberi amaran bahawa masa depan BERSATU bergantung kepada hubungan dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
“Andai PAS menarik diri dari PN kerana perpecahan dalaman BERSATU, jangan mimpi BERSATU menang PRU-16,” tegas Muqharabbin.
Muqharabbin juga berpandangan bahawa walaupun PN mampu memenangi 80 kerusi, ia belum tentu menjamin Muhyiddin mendapat sokongan mencukupi untuk kembali menjadi Perdana Menteri.
Kenyataan itu turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menjadi dalang gerakan mendesak perubahan kepimpinan.
Menurut Muqharabbin, cubaan mengaitkan Hamzah dengan gerakan tersebut adalah tidak berasas dan bertujuan mencari kambing hitam.
“Jika prinsip keadilan ingin ditegakkan, jangan menghukum tanpa bukti,” katanya.
Dalam masa sama, bahagian itu menyifatkan kerosakan sebenar terhadap institusi Presiden berpunca daripada kelompok tertentu di sekeliling Presiden yang didakwa terlalu taksub mempertahankan kedudukan sendiri.
Mereka turut mempersoalkan mengapa kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri tidak dijadikan asas untuk menilai kepimpinan tertinggi secara menyeluruh.
Muqharabbin turut menegaskan bahawa suara perubahan yang dibangkitkan bukan sabotaj, sebaliknya pandangan kolektif sebahagian besar akar umbi dan kepimpinan bahagian yang mahu parti berada dalam posisi terbaik menghadapi PRU-16.
“BERSATU bukan milik individu. Ia milik ahli dan perjuangan. Jika suara perubahan terus dilabel sebagai pengkhianatan, maka retak akan menunggu belah,” menurutnya.
Kenyataan ini dilihat memperlihatkan ketegangan yang semakin terbuka dalam BERSATU, khususnya menjelang penentuan kepimpinan parti dan hala tuju PN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.