
KUALA LUMPUR, 31 Mei 25 – Guru perlu kembali memainkan peranan penting mencorak gerakan politik seperti mana sejarah politik tanah air yang menyaksikan guru berperanan besar dalam gerakan menuntut kemerdekaan, kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, guru harus berperanan sebagai pencetus idea, tempat rujukan masyarakat, intelektual awam, advokasi serta penggerak dan pemimpin masyarakat, termasuk dalam politik Melayu.
“Sejarah orang Melayu moden, termasuk politik dan gerakan menuntut kemerdekaan, telah ditandai dengan peranan dan sumbangan amat besar guru-guru Melayu. Terdapat guru menjuarai gerakan pendidikan, bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Terdapat guru yang aktif dalam parti-parti politik Melayu.
“Baru-baru ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan negara memerlukan reset politik yang baru, iaitu mengambil teladan daripada reset politik besar pada 1970. Beliau mencadangkan Konsensus Nasional Baru.
“Dalam hal ini, guru-guru Melayu perlu meneruskan kesinambungan peranannya sebagai aktivis masyarakat. Guru harus berperanan sebagai pencetus idea, tempat rujukan masyarakat, intelektual awam, advokasi serta penggerak dan pemimpin masyarakat, termasuk dalam politik Melayu,” katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika forum pendidikan Melayu anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang tadi.
Saifuddin yang juga ketua portfolio pendidikan PN berkata, dalam sejarah parti-parti politik Melayu, guru-guru memainkan peranan amat mustahak, iaitu dalam kepimpinan dan pengurusan.
“Sehingga parti tertentu mencapai zaman kemuncaknya dan orang Melayu meraih manfaatnya.
“Dulu, dengan peranan besar guru-guru, ia dikenali sebagai ‘parti berjuang’. Tetapi, kini, apabila peranan guru-guru berkurangan, ia dikenali sebagai ‘parti berwang’.
“Guru-guru Melayu mampu menentukan nasib dan hala tuju bangsa dan negaranya, bukan sahaja dalam pendidikan, tetapi dalam seluruh kehidupan,” kata ketua biro pendidikan Bersatu itu lagi. @politiko.my