
KUALA LUMPUR | 14 Feb 26 – Beberapa jam selepas ucapan Hamzah Zainudin di Reset Politik, Parti BERSATU Bahagian Lembah Pantai hari ini mengumumkan pembubarannya secara serta-merta.
Keputusan drastik itu dibuat dalam mesyuarat rasmi bahagian yang dipengerusikan Ketua Bahagian, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, dan dihadiri barisan kepimpinan utama termasuk Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Exco Kanan serta Ahli Jawatankuasa Bahagian.
Menurut beliau, keputusan membubarkan bahagian dicapai sebulat suara selepas perbincangan terbuka yang memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan pandangan masing-masing.
Langkah itu dilihat berkait rapat dengan perkembangan terkini dalam parti, khususnya penyertaan majoriti kepimpinan bahagian ke Program Reset anjuran Ronal Kiandee sebagai tanda solidariti bersama Hamzah Zainudin.
Dalam kenyataannya, Muhamad Muqharabbin menegaskan beliau telah membuat pertimbangan menyeluruh sebelum mengambil pendirian, termasuk melakukan istikharah dan menilai hala tuju perjuangan parti.
Beliau secara terbuka menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Hamzah, yang disifatkannya sebagai pemimpin yang memahami denyut nadi akar umbi, konsisten bersama ahli dan tidak berkompromi dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Katanya, keputusan tersebut bukan didorong kepentingan peribadi, sebaliknya demi memastikan kesinambungan perjuangan yang berprinsip dan berpaksikan kekuatan rakyat.
Beliau turut mendakwa kehadiran luar biasa ahli Parlimen, ADUN, ketua-ketua bahagian, ahli bersekutu, NGO serta jentera parti dalam program di PAUM hari ini menjadi manifestasi jelas sokongan akar umbi terhadap Hamzah.
“Walaupun berdepan tekanan dan ugutan tindakan disiplin, pemimpin dan ahli tetap hadir memberikan sokongan. Ini membuktikan kepimpinan tidak boleh dibina melalui arahan atau paksaan, tetapi melalui khidmat bakti dan keikhlasan,” katanya.
Perkembangan yang sudah dijangka ini pastinya akan memberi kesan langsung kepada dinamika dalaman BERSATU, sekaligus BERSATU berhadapan dengan perpecahan terbesar sejak ia ditubuhkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.