
KUALA LUMPUR, 31 DIS 25 — Tindakan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang menerima pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) tanpa mandat parti disifatkan boleh menjejaskan kesepaduan Perikatan Nasional (PN) serta melanggar peraturan dan Perlembagaan parti.
Menurut satu kenyataan akhbar semalam, Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim, menegaskan bahawa semua ADUN yang bertanding dalam pilihan raya sebelum ini menggunakan tiket PN dan tertakluk sepenuhnya kepada keputusan yang dibuat di peringkat gabungan itu.
Beliau merujuk tindakan Menteri Besar yang juga ADUN BERSATU Kuala Perlis, YB Abu Bakar Hamzah, yang didakwa bertindak secara unilateral seolah-olah calon bebas, tanpa mengambil kira struktur, disiplin serta keputusan kolektif parti. Katanya, tindakan sedemikian mencerminkan keutamaan terhadap kepentingan peribadi dan berpotensi mengeruhkan hubungan antara parti-parti gabungan dalam PN.
“Watikah pencalonan dikeluarkan atas tiket Perikatan Nasional, justeru setiap wakil rakyat terikat untuk mematuhi keputusan parti dan tidak seharusnya bertindak secara bersendirian,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Shafiq berpandangan BERSATU wajar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang melanggar peraturan serta Perlembagaan parti, termasuk mempertimbangkan hukuman penggantungan atau perlucutan keahlian sekiranya perbuatan tersebut menjejaskan kestabilan dan kelangsungan parti pada masa hadapan.
Beliau turut memberi amaran bahawa keghairahan mengejar jawatan dan kedudukan boleh menghakis semangat setiakawan serta persahabatan dalam kalangan parti-parti gabungan, sambil menegaskan ahli parti tidak akan membenarkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan bersama PN.
Terdahulu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, dilaporkan menyatakan kesediaannya mempertimbangkan pelantikan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS ke dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sekiranya mereka berjaya mengekalkan kerusi mereka dalam situasi politik semasa di Perlis.
Abu Bakar berkata tawaran ini bukan hanya terhad kepada bekas wakil PAS, malah juga terbuka kepada mana-mana ADUN bebas yang memenuhi kriteria dan dapat mempertahankan kerusi masing-masing tanpa perlu diadakan pilihan raya kecil sekiranya kekosongan kerusi tidak diwujudkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.