
KUALA LUMPUR | 20 Feb 26 – Perkembangan mutakhir dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat membuka ruang kepada pembentukan poros politik baharu, susulan pembubaran puluhan bahagian dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, situasi itu menuntut strategi lebih tersusun daripada Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi memastikan kelangsungan pengaruh politiknya.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga hingga empat hari, kira-kira 30 bahagian BERSATU telah dimansuhkan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa berlaku peralihan sokongan yang signifikan di peringkat akar umbi.
“Itu sebabnya saya katakan, yang banyak bersuara sekarang ialah Ketua Pembangkang. Dia mempunyai kemampuan berpidato, percakapannya jelas dan poin-poinnya tersusun. Orang yang melihat akan menilai. Walaupun mereka tidak memilih parti, mereka mungkin memilih individu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan kem yang tidak bersama Hamzah tidak bertindak secara strategik sekiranya pembubaran dilakukan secara berperingkat tanpa penyelarasan menyeluruh.
Menurutnya, sekiranya gerakan keluar parti dilakukan secara tersusun dan serentak, ia berpotensi menjadi asas kukuh untuk menubuhkan sebuah parti baharu yang lebih tersusun dan berdaya saing.
“Pada saya, strategi yang harus difikirkan oleh Datuk Hamzah ialah untuk mengkonsolidasikan kekuatan dalam bentuk sebuah parti lain. Dia tidak boleh kembali kepada parti lama kerana keputusan sudah dibuat. Jadi langkah seterusnya ialah bergerak secara beramai-ramai,” ujarnya.
Beliau turut berpendapat bahawa menyertai parti sedia ada bukan pilihan terbaik kerana setiap parti mempunyai beban dan isu tersendiri.
Sebaliknya, penubuhan parti baharu dilihat sebagai alternatif lebih strategik, dengan syarat ia digerakkan secara kolektif dan disertai struktur organisasi yang jelas serta jenama yang mampu menarik keyakinan rakyat.
Perkembangan ini dijangka memberi kesan besar terhadap landskap pembangkang, khususnya dalam menentukan arah tuju kepimpinan dan penjajaran semula kuasa politik negara dalam tempoh terdekat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.