“PN Bukan Milik Individu” — Saifuddin Bidas Kenyataan Muhyiddin

KUALA LUMPUR | 4 Mac 26— Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilapor menegaskan akan menghalang kemasukan parti tertentu ke dalam Perikatan Nasional (PN) kini dipersoalkan dari sudut struktur dan semangat Perlembagaan gabungan itu sendiri.

Mantan Ahli MPT BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa PN tidak ditadbir melalui kuasa veto individu, sebaliknya keputusan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi (MT) secara undi majoriti.

“PN membuat keputusan dalam MT. Jika perlu, ia diundi. Undian bukan berdasarkan satu parti satu undi, tetapi jumlah ahli MT yang terdiri daripada wakil parti dan pemegang jawatan,” katanya.

Menurut beliau, sistem itu jelas menunjukkan bahawa tiada mana-mana individu boleh secara unilateral menghalang atau meluluskan sesuatu keputusan termasuk soal kemasukan parti baharu.

Saifuddin menekankan bahawa MT PN tidak mengamalkan konsep veto. Sebaliknya, setiap keputusan strategik ditentukan melalui majoriti ahli MT.

Ini sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kenyataan Muhyiddin yang dilihat seolah-olah mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan hala tuju gabungan tersebut.

“Kalau ada parti ingin menjadi anggota PN, perkara itu akan diputuskan oleh MT. Kalau perlu, ia diundi. Itu mekanismenya,” jelas beliau.

Dalam nada sinis, Saifuddin turut menyentuh tindakan Muhyiddin sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, yang menurutnya secara langsung mengurangkan satu undi daripada kuota BERSATU dalam MT.

“Apabila beliau meletak jawatan Pengerusi, satu undi daripada BERSATU hilang. Jika ada keputusan kalah satu undi, siapa harus dipersalahkan?” katanya, memberi bayangan bahawa tindakan tersebut melemahkan kedudukan parti sendiri dalam struktur gabungan.

Selain teks Perlembagaan, Saifuddin turut membangkitkan soal “semangat” PN yang menurutnya berasaskan perundingan dan konsensus antara parti-parti anggota.

Beliau merujuk beberapa episod lalu, termasuk dakwaan pelantikan Setiausaha Agung PN tanpa rundingan serta pengendalian isu Menteri Besar Perlis, sebagai contoh keputusan yang didakwa tidak melalui muafakat menyeluruh.

“Rekod rundingan itu harus dinilai semula,” katanya.

Saifuddin turut menyifatkan beberapa kenyataan mutakhir Muhyiddin sebagai kelihatan bersifat peribadi, bukan berpaksikan mekanisme organisasi.

“Ini menguatkan lagi pandangan bahawa beliau sudah hilang arah,” katanya secara terbuka.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak melihat berlakunya sebarang kerjasama antara beliau dengan Hamzah Zainudin selepas ini dan akan menolak jika bekas timbalannya itu mahu menyertai Perikatan Nasional (PN) menerusi parti baharu.

“Saya tidak nak campur tangan. Tapi kalau dia nak masuk PN…saya akan jawab tidak boleh sebab ‘once bitten twice shy’ (sekali dikhianati kena berwaspada). @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share