
KUALA LUMPUR, 27 Mei 25 – Gagasan Konsensus Nasional dicadangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam ucaptama di Institut Yusof Ishak (Iseas) di Singapura minggu lalu, adalah lembaran baharu untuk komuniti India Malaysia, kata Presiden Parti Masyarakat India Malaysia (MIPP) Punithan Paramsiven.
Punithan berkata, cadangan Hamzah itu menunjukkan beliau mempunyai keberanian mengemukakan idea yang progresif dan inklusif.
“Berbeza dengan sesetengah pemimpin yang hanya beretorik dan berslogan seperti ‘anak India – anak kita, anak Cina – anak kita, anak Iban – anak kita’, tetapi gagal menunaikan janji sewaktu berkuasa.
“Kehebatan sebenar seorang pemimpin terletak pada keberanian untuk mengakui kelemahan, terutamanya dalam politik, di mana kerendahan hati menjadi asas penting kepada perubahan masyarakat yang bermakna,” katanya, dalam kenyataan di Facebook miliknya.
Tambah Punithan, mengenal pasti kelemahan dalam sistem sedia ada adalah langkah pertama yang paling penting dan berani ke arah membina Malaysia yang lebih baik.
Jelasnya, ia adalah satu ikrar berwawasan yang menjanjikan reformasi menyeluruh yang berlandaskan keadilan dan kesaksamaan.
Komuniti India di negara ini katanya masih berdepan pelbagai cabaran sistemik seperti peluang pendidikan teknikal dan tinggi, pengangguran, kemiskinan bandar, penjagaan kesihatan yang lemah, serta kurangnya penyertaan dalam dasar negara.
“MIPP percaya Konsensus Nasional Baharu merupakan peluang penting untuk mengangkat dan memperkasa komuniti India.
“Kami tahu hak kami yang termaktub dalam Perlembagaan. Apa yang diperlukan sekarang adalah pendekatan politik yang tersusun dan berlandaskan integriti, kebajikan, keadilan sosial dan keterangkuman, yang merupakan pendekatan yang membuka lembaran baru penuh harapan (Nambikei),” kata Punithan lagi.
Tambahnya, impian Hamzah melalui gagasan tersebut adalah impian untuk Malaysia yang lebih baik bukan satu mimpi sebaliknya merupakan satu komitmen.
“Perikatan Nasional telah pun menyatakan komitmen itu dengan jelas. Kini masa untuk komuniti India menyambutnya dengan penuh yakin dan bersatu hati.
“Bersama, kita mampu menjadikan visi ini satu kenyataan,” katanya lagi. @politiko.my