Toh Puan Na’imah Dedah Falsafah Arwah Tun Daim Bantu Usahawan Melayu

KUALA LUMPUR, 16 NOV 25 — Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, balu kepada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, mendedahkan sisi peribadi dan falsafah perniagaan suaminya yang jarang diketahui umum menerusi podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Dalam sesi tersebut, Toh Puan Na’imah menekankan bahawa sumbangan arwah suaminya terhadap pembangunan ekonomi Melayu tidak hanya terbatas kepada tokoh-tokoh korporat terkenal seperti Alim, Tajuddin atau Azmi, tetapi sebenarnya meliputi pelbagai lapisan rakyat.

“Semua orang yang datang minta tolong, mereka selalu tolong. Siapa pun,” katanya sambil berkongsi pengalaman rutin mereka ketika mengunjungi pasar tani pada waktu pagi.

Beliau menceritakan bagaimana Tun Daim sering mendekati peniaga kecil termasuk penjual karipap sejuk beku dan seorang penjual nangka madu, sebelum menjemput mereka ke pejabatnya untuk dibantu mengembangkan perniagaan.

Menurut Toh Puan Na’imah, masyarakat hanya melihat kelompok ahli korporat yang dikenali sebagai “Peremba Boyz” sebagai simbol kejayaan era pengembangan ekonomi Melayu, namun hakikatnya ramai lagi yang mendapat manfaat daripada campur tangan Tun Daim dalam memajukan perniagaan Melayu ketika itu.

Beliau menjelaskan bahawa pada era 1980-an hingga awal 1990-an, ketika Tun Daim memainkan peranan utama dalam pembentukan dasar ekonomi negara, lahirlah kelompok kapitalis Melayu yang menguasai pelbagai sektor seperti telekomunikasi, infrastruktur, tenaga, media, penerbangan dan hartanah.

“Pada masa itu, siapa kapitalis Melayu? Mereka kawal telekomunikasi, infrastruktur, media, jalan, pesawat. Semua ini Melayu… mereka muda dan buat setiap bahagian ekonomi Melayu,” katanya.

Toh Puan Na’imah turut menyenaraikan bahawa kawasan-kawasan komersial utama seperti Sungai Wang Plaza, Star Hill, Sentul, dan hotel Park Royal juga berada di bawah pegangan usahawan Melayu ketika era tersebut, sesuatu yang menurutnya jarang disentuh dalam perbahasan hari ini.

Dalam podcast itu, beliau turut membandingkan dua pendekatan berbeza antara Tun Daim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menangani isu kemiskinan dan pembangunan Melayu.

“Tun Mahathir seperti bapa yang mengherdik anak-anak: ‘Bangkitlah, jangan malas, buat kerja,’” ujar Na’imah.

Sebaliknya, kata beliau, Tun Daim lebih bersifat mengangkat keyakinan Melayu,

“Kamu semua pandai, kamu semua baik, kamu boleh lakukannya… hanya beri peluang.”

Pendekatan inilah, jelas Toh Puan Na’imah, yang membantu membina kelas kapitalis Melayu yang kuat pada zamannya meskipun perubahan politik selepas tahun 1991 berada di luar kawalan beliau.

“Apa pun berlaku selepas itu bukan dalam kawalan dia. Tetapi dia telah mewujudkan satu kelas kapitalis Melayu yang berjaya,” katanya.

Podcast tersebut membuka ruang wacana baharu mengenai peranan individu di sebalik dasar-dasar besar negara, serta bagaimana pendekatan pembangunan ekonomi Melayu sewaktu era Tun Daim terus diperdebatkan sehingga kini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share