
KUALA LUMPUR | 5 Mac 26 – Pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa keutamaan gabungan itu ketika ini adalah memperkukuhkan parti dan memantapkan muafakat di seluruh negara, bukannya memperdebatkan soal calon Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan mengenai kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin yang menyebut bahawa “Dr Sam adalah Pengerusi Perikatan Nasional dan bukan calon PM”.
Menurut Samsuri, fokus utama ketika ini adalah memastikan jentera dan kesepaduan dalam Perikatan Nasional diperkukuh bagi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia.
“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa Muhyiddin sendiri bukan lagi calon Perdana Menteri.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan yang dilihat cuba dicetuskan oleh Muhyiddin Yassin.
Dalam Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU tahun lalu, satu usul dibuat dengan Muhyiddin diumum sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU ke 16. Namun keputusan tersebut menimbulkan kontroversi apabila usul tersebut dikatakan tidak pernah dibincangkan, baik di dalam MPT BERSATU mahupun Kepimpinan Perikatan Nasional. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.