
KUALA LUMPUR, 13 NOV 2025 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mendakwa konsep ‘Payung Besar’ yang sebelum ini bertujuan menyatupadukan orang Melayu kini dilihat membawa kepada perpecahan.
Menurut Dr. Mahathir, sejak cadangan konsep payung besar diperkenalkan, ramai orang Melayu menyokongnya sebagai jalan penyatuan, dan pelbagai gerakan ditubuhkan berdasarkan idea tersebut.
Bagaimanapun, katanya, keadaan kini berbeza apabila muncul empat hingga lima kumpulan payung besar yang masing-masing mendakwa memperjuangkan perpaduan bangsa.
“Setiap payung besar ini mengadakan kempen sendiri untuk menarik sokongan rakyat. Akibatnya, rakyat berpecah memilih payung yang berbeza,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau menegaskan, semangat perpaduan yang diharapkan tidak tercapai, sebaliknya menambah kekosongan dan perbalahan sesama bangsa.
“Hasilnya bukanlah penyatuan, tetapi perpecahan. Ia sama seperti perpecahan orang Melayu kerana terlalu banyak parti politik,” katanya lagi.
Dr. Mahathir turut menekankan bahawa sesuatu yang tidak betul telah berlaku dalam cara masyarakat menerima dan melaksanakan idea payung besar itu.
“Dengan adanya beberapa payung besar, bukan perpaduan yang berlaku, tetapi perpecahan. Ada sesuatu yang tidak betul dengan penerimaan cadangan payung besar. Sama-samalah kita bangsa Melayu berfikir,” katanya.
Sungguhpun kenyataan Mahthir tidak merujuk kepada mana-mana pihak, namun kenyataan tersebut adalah kali kedua di mana pada 23 September, Mahthir memberi amaran bahawa cadangan mendirikan “payung besar” politik Melayu hanya akan mengundang lebih banyak perpecahan sekiranya ada tokoh cuba menubuhkan payungnya sendiri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.