
KUALA LUMPUR | 8 Mac 26 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Naib Presidennya, Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi parti, Mas Ermieyati Samsudin berhubung beberapa dakwaan berkaitan isu dalaman parti.
Kedua-dua pemimpin itu mengesahkan menerima surat daripada Lembaga Disiplin BERSATU yang meminta mereka memberikan penjelasan terhadap tuduhan yang dikemukakan.
Ronald berkata beliau menerima surat tersebut pada 28 Februari lalu, namun tidak mendedahkan kandungan penuh surat berkenaan. Beliau turut memaklumkan tempoh untuk memberikan jawapan kepada surat itu ditetapkan dalam masa beberapa hari selepas ia diterima.
Menurutnya, tindakan disiplin itu dipercayai berkait dengan sokongan yang diberikan oleh beberapa Ahli Parlimen BERSATU kepada Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Ronald sebelum ini menghantar surat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional bagi memaklumkan bahawa 13 Ahli Parlimen Bersatu menyokong Hamzah untuk kekal memegang jawatan tersebut.
Sementara itu, Mas Ermieyati turut mengesahkan beliau menerima surat tunjuk sebab yang sama daripada Lembaga Disiplin parti, namun menyatakan tidak berhasrat untuk memberikan maklum balas buat masa ini dan akan melihat perkembangan seterusnya.
Perkembangan itu berlaku selepas BERSATU sebelum ini mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin parti, termasuk pemecatan Hamzah daripada jawatan timbalan presiden dan keahlian parti atas dakwaan melanggar perlembagaan parti. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.