Zainol Fadzi Dakwa Pasukan Petugas Khas Hanya Alat Politik

IPOH | 22 Feb 26  – Usaha menubuhkan pasukan petugas khas bagi menghidupkan semula bahagian yang dibubarkan dilihat sebagai langkah politik untuk mengukuhkan kawalan pusat terhadap organisasi parti, kata ADUN Sungai Manek, Dato Zainol Fadzi Paharudin.

Beliau menegaskan akar umbi parti tidak boleh dianggap sebagai kelompok yang mudah dipengaruhi atau disusun semata-mata untuk memenuhi kepentingan kuasa politik tertentu.

Mengulas tindakan kepimpinan parti yang sebelum ini dilaporkan tidak kisah dengan pembubaran jawatankuasa bahagian, Zainol Fadzi mendakwa terdapat percanggahan antara kenyataan dan tindakan sebenar.

Beliau mendakwa pada masa sama terdapat usaha memujuk jawatankuasa bahagian supaya tidak meletakkan jawatan atau keluar parti, termasuk tawaran untuk menjadikan individu tertentu sebagai calon Pilihan Raya Umum serta jaminan tidak dikenakan tindakan disiplin.

“Pemecatan terpilih” turut dibangkitkan sebagai dakwaan bahawa Lembaga Disiplin parti digunakan sebagai instrumen politik dan bukannya untuk tujuan pembersihan organisasi seperti yang sering dilaungkan.

Zainol Fadzi turut mendakwa kepimpinan pusat sebelum ini gagal memberi sokongan signifikan kepada bahagian di Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-15, menyebabkan kekuatan bahagian banyak bergantung kepada usaha jawatankuasa bahagian sendiri.

“Tiba-tiba hari ini tampil usaha mengembalikan keyakinan akar umbi, sedangkan mereka yang didakwa merosakkan organisasi di bahagian sejak 2022 kini mahu tampil sebagai penyelamat,” katanya kepada politiko.

Beliau juga mendakwa terdapat percubaan meletakkan individu tertentu sebagai penaja di bahagian Perak, namun usaha tersebut gagal selepas ditolak akar umbi parti.

Menggunakan analogi “intan dan kaca”, Zainol Fadzi mengingatkan supaya kepimpinan parti tidak memandang rendah keupayaan ahli akar umbi membuat penilaian politik.

“Akar umbi tahu menilai intan dan kaca. Jangan anggap mereka boleh diatur demi kuasa politik semata-mata,” tegasnya.

Penubuhan pasukan petugas khas sebelum ini diumumkan sebagai usaha kepimpinan parti untuk memulihkan struktur bahagian yang didakwa mengalami pembubaran selepas peletakan jawatan ahli jawatankuasa.

Bagaimanapun, langkah tersebut dilihat berpotensi mencetuskan perdebatan dalaman parti, khususnya di Perak, ketika tekanan politik antara kepimpinan pusat dan akar umbi dilihat semakin meningkat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share