Perang Iran Dan Kesan Ekonomi Global

Perang yang tercetus di Iran ketika ini bukan sekadar konflik ketenteraan serantau. Ia kini telah memberikan impak kejutan ekonomi global yang merentasi pasaran tenaga, industri penerbangan serta sektor pelancongan antarabangsa.

Dalam seminggu sahaja, ekonomi global yang saling bergantung, telah mencetuskan rantaian kesan yang luas kepada perdagangan, mobiliti dan harga tenaga.

Kesan paling cepat dan ketara daripada perang Iran ialah lonjakan harga minyak mentah global. Konflik tersebut telah mengganggu laluan eksport minyak utama dunia, khususnya di Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak global.

Sungguhpun Iran memaklumkan bahawa mereka tidak menutup laluan Selat Hormuz, namuan gangguan kepada laluan ini tetap berlaku menyebabkan kapal tangki minyak mengurangkan perjalanan dan menimbulkan kebimbangan bekalan tenaga dunia.

Akibatnya, harga minyak meningkat secara mendadak. Harga minyak mentah melepasi USD114 setong, paras tertinggi sejak 2022. Sejak awal 2026, harga minyak global meningkat lebih 50 peratus, daripada sekitar USD60 kepada lebih USD90 setong.

Lonjakan ini berpunca daripada beberapa faktor utama seperti serangan terhadap kemudahan minyak dan infrastruktur tenaga. Serta pengurangan pengeluaran oleh beberapa negara pengeluar kerana kesukaran eksport.

Jika konflik berlarutan, beberapa penganalisis memberi amaran harga minyak boleh melonjak sehingga USD150 setong, satu tahap yang berpotensi mencetuskan inflasi global dan menekan pertumbuhan ekonomi dunia.

Selain pasaran tenaga, sektor yang paling cepat menerima kesan ialah industri penerbangan global. Konflik ini telah menyebabkan beberapa negara Timur Tengah menutup ruang udara dan meningkatkan risiko keselamatan penerbangan.

Situasi ini memaksa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan, mengubah laluan penerbangan dan kesannya mereka terpaksa menggunakan laluan yang lebih panjang dan mahal.

Sebahagian syarikat penerbangan antarabangsa juga menggantung operasi ke beberapa destinasi di rantau itu akibat penutupan ruang udara dan risiko keselamatan.

Gangguan ini turut memberi kesan kepada logistik global. Laluan udara antara Asia dan Eropah yang melalui Timur Tengah terganggu, menyebabkan kos pengangkutan udara dan kargo meningkat dengan ketara.

Pakar industri menganggarkan konflik tersebut boleh menyebabkan kerugian melebihi USD1 bilion kepada sektor penerbangan global jika gangguan operasi berterusan.

Tambahan pula, kenaikan harga minyak meningkatkan kos bahan api jet, komponen terbesar dalam kos operasi syarikat penerbangan. Ini menyebabkan margin keuntungan tertekan dan harga tiket penerbangan meningkat.

Perang Iran juga memberi kesan besar kepada industri pelancongan global, khususnya di Timur Tengah yang sebelum ini menjadi hab pelancongan dan transit antarabangsa.

Beberapa hari lalu, kajian oleh Tourism Economics mengunjurkan ketibaan pelancong antarabangsa ke Timur Tengah boleh merosot antara 11% hingga 27% pada 2026. Manakala perbelanjaan pelawat dijangka susut antara USD34 bilion hingga USD56 bilion.

Ini bersamaan dengan kehilangan sehingga 38 juta pelawat antarabangsa berbanding unjuran sebelum konflik.

Kesan ekonomi tidak terhad kepada hotel dan syarikat penerbangan sahaja. Industri pelancongan mempunyai kesan rantaian kepada peruncitan, restoran, pengangkutan dan acara antarabangsa. Apabila jumlah pelawat merosot, keseluruhan ekosistem ekonomi pelancongan turut terjejas.

Selain kesan kepada pasaran tenaga dan sektor perjalanan, perang Iran juga menelan kos ketenteraan yang sangat besar kepada pihak yang terlibat.

Laporan pertahanan Amerika menunjukkan bahawa operasi awal yang dijalankan oleh Amerika Syarikat terhadap sasaran di Iran menelan belanja sekitar USD3.7 bilion dalam 100 jam pertama serangan, bersamaan kira-kira USD891 juta sehari.

Apabila operasi berterusan sepanjang minggu pertama konflik, anggaran kos meningkat kepada sekitar USD5 hingga USD6 bilion, sebahagian besarnya digunakan untuk peluru berpandu berketepatan tinggi, sistem pertahanan peluru berpandu serta operasi pesawat pengebom strategik.

Fasa awal peperangan biasanya paling mahal kerana penggunaan besar munition berteknologi tinggi, selain keperluan menggantikan semula stok peluru dan peluru berpandu yang digunakan dalam operasi awal.

Kos perang yang tinggi ini memberi tekanan tambahan kepada perbelanjaan pertahanan dan berpotensi menjejaskan keseimbangan fiskal negara yang terlibat jika konflik berpanjangan.

Perang Iran menunjukkan bagaimana konflik geopolitik boleh mencetuskan krisis ekonomi global. Rantau Timur Tengah memainkan peranan strategik dalam sistem ekonomi dunia, sebagai pengeluar tenaga utama dan hab penerbangan antarabangsa.

Dalam ekonomi global yang saling terhubung, perang di satu rantau boleh mencetuskan ketidakstabilan ekonomi yang melangkaui sempadan geopolitik, menjadikan konflik Iran bukan sekadar krisis serantau tetapi cabaran kepada kestabilan ekonomi dunia. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share