
Pada 22 Mei 2025, Ketua Pembangkang Dato’ Seri Hamzah Zainudin tampil di pentas antarabangsa di ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapura, dengan satu mesej politik yang tersusun dan bersifat strategik.
Ucapan beliau menjadi pembuka bicara utama selepas PRU15. Mesejnya jelas – Perikatan Nasional bukan hanya pembangkang semak dan imbang, sebaliknya mesej yang lebih penting ialah memaknai kembali maksud bernegara.
Dalam ucapannya bertajuk “A Bird’s-Eye View of the Malaysian Political Landscape”, Hamzah mengetengahkan konsep Konsensus Nasional Baharu — sekalipun ia bukanlah dianggap idea baharu, namun ia cukup untuk menyampaikan suatu gambaran mengenai visi alternatif untuk Malaysia pasca-pandemik dan pasca-kemelut politik PRU15.
Ucapan ini menjadi signifikan kerana ia dilihat sebagai suatu usaha untuk membawa PN keluar dari bayang-bayang retorik klise seperti “menolak DAP” dan “reformasi”, kepada satu naratif politik kenegaraan yang lebih holistik dan realistik.
Dalam membicarakan konsep ‘Matlamat Bersama’ – ia bukan sekadar slogan perpaduan yang dijaja dengan papan-papan iklan di lebuhraya, tetapi ia suatu jalur komitmen untuk menjauhkan rakyat dari naratif songsang dalam melihat dan memahami konsep kepelbagaian.
Begitu juga dengan konsep ‘Kemakmuran Bersama’ – ia bukan hanya imaginasi populis, tetapi suatu langkah untuk menggerakkan ekonomi wilayah yang masih tercicir dari pembangunan nasional.
Mengenai aspek ‘Tadbir urus yang manusiawi’ – ia meletakkan agenda integriti sebagai kayu pengukur kepada keberkesanan reformasi institusi yang dilaksana, bukan sekadar dijadikan modal ceramah politik.
Naratif ini, secara strategik, cuba mengisi kekosongan kepercayaan rakyat terhadap gabungan kerajaan yang dianggap “artifical” – bukan “natural’.
Ucapan Hamzah menunjukkan perubahan gaya komunikasi Perikatan Nasional yang waras, lebih diplomatik dan lebih berpandangan jauh. Bukan nada desperado dan membuta tuli.
Dalam ucapannya, tersembunyi mesej Hamzah mengenai Islam – yang cuba menerokai makna ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’ dengan lebih jauh dari kerangka politik kepartian dan ketaksuban.
Ini dapat dibaca menerusi sebutan ucapannya mengenai keadilan ekonomi dan keikhlasan dalam isu-isu perhubungan antara kaum. Jelas, Hamzah sedar bahawa PN tidak boleh hanya bergantung kepada kerusi Melayu diluar bandar, sebaliknya perlu membuka pintu secara inklusif kepada kaum-kaum lain.
Bahasa ucapannya biasa, tidak ada ayat-ayat muluk, ia bahasa yang membina, sesuai dengan perwatakannya yang berasal dari seorang teknokrat.
Ucapannya juga bebas dari sindiran ekstrem, tidak bersifat populis murahan, dan memberi ruang kepada diplomasi serantau, ini penting untuk meyakinkan kelas menengah dan pelabur luar.
Ucapan Hamzah di Singapura bukan sekadar satu pidato diplomatik atau buat ‘PR” politik, tetapi ia satu pandangan mengenai naratif politik kebangsaan.
Hamzah tidak perlu tunjuk dirinya paling anti-Anwar atau menjawab persoalan ‘Melayu dulu-Malaysian kemudian’; cukup sekadar beliau nyatakan fakta dan hala tujunya agar rakyat faham – kita semua mahu ke mana.
Inilah persoalan hakiki ketika ini. Mungkin, itulah rasional Hamzah. @analitiko