Pergi menjerat di padang sasar
Dapat seekor burung punai
Apalah guna rumah besar
Kalau dimakan anai-anai.
Jangan menjerat di dahan rapuh
Kalau patah tuan yang jatuh
Rumah bangsa pernah kukuh
Kerana khianat ia runtuh.
Buat huma di tanah pamah
Satu badan terasa penat
Diberi amanah jaga rumah
Habis rosak kerana khianat.
Rumah besar banyak bilik
Kayunya dari Gunung Daik
Kalau hendak dibina balik
Biarlah tukangnya orang baik.
Di Laut Khalzum ada garuda
Badanny besar lagi perkasa
Bangsa kita bukanlah kuda
Untuk ditunggang sepanjang masa.
Banyak pendekar mengaku perkasa
Kalah bertarung lari ke hulu
Sebelum bangunkan rumah bangsa
bubuk dan anai-anai nyahkan dulu.
Pergi ke pasar pagi Isnin
Pesan isteri jangan dilupa
Atau jadilah macam Mat Jenin
Mati jatuh pokok kelapa.
Pagi Selasa pergi ke huma
Seberang sungai Pekan Selama
Selamat berpuasa sahabat semua
Moga-moga ibadat Allah terima.
Pantun ini telah dimuat naik oleh Datuk A Kadir Jasin di laman facebook beliau pada 12 Mac 2026.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.