Agenda Reset Dan Konsensus Baharu

Politik Malaysia sentiasa dipenuhi dengan perubahan dan kejutan. Dinamika ini berlaku kerana parti-parti politik sentiasa menyesuaikan strategi bagi menghadapi keadaan semasa dalam mendapatkan sokongan rakyat.

Hakikatnya politik tidak pernah berada dalam keadaan statik. Apabila keadaan berubah, kepimpinan juga perlu berani melakukan penyesuaian mengikut arus suara rakyat.

Inilah pendekatan yang cuba dibawa oleh DS Hamzah Zainudin melalui gagasan “Agenda Reset dan Konsensus Baharu” dalam landskap politik negara hari ini.

Agenda reset bukan bermaksud menafikan apa yang telah dibina sebelum ini, tetapi menyusun semula kekuatan politik agar lebih relevan dengan realiti semasa. Keadaan politik yang semakin berpecah hari ini khususnya orang melayu telah menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap politik semakin terhakis.

Dalam suasana politik yang semakin kompleks, pendekatan lama mungkin tidak lagi mencukupi untuk menghadapi cabaran baharu. Cabaran-cabaran ini menuntut penyelesaian yang lebih progresif dengan tindakan dan pelaksanaan yang lebih tersusun rapi.

Melalui agenda reset ini, fokus utama adalah untuk mengembalikan kejelasan arah perjuangan. Khususnya dalam memperkukuhkan peranan pembangkang di dalam parlimen. Pembangkang yang kuat bukan sekadar lantang bersuara, tetapi mampu menyusun strategi dan menawarkan alternatif yang lebih baik sebagai sebuah kerajaan.

Dengan penyusunan semula yang lebih teratur, suara rakyat dapat dibawa dengan lebih berkesan. Politik pembangkang juga tidak seharusnya terus terperangkap dalam konflik dalaman yang berpanjangan sehingga mengabaikan kepentingan rakyat dan masa depan negara.

Sudah lama politik negara dipenuhi dengan perebutan kuasa dan pertelingkahan dalaman. Agenda reset ini membawa semangat menamatkan budaya politik yang sempit, berkepentingan diri dan menggantikannya dengan politik yang lebih segar dimana tumpuan diberikan kepada dasar serta penyelesaian masalah rakyat.

Pada masa yang sama, idea konsensus baharu pula menjadi pelengkap kepada agenda ini. Konsensus baharu membawa gagasan untuk mencari titik persamaan antara pemimpin, parti politik, tokoh-tokoh politik dan masyarakat serta kumpulan masyarakat yang mempunyai matlamat yang selari.

Titik pertemuan ini perlu dicari demi kelangsungan rakyat dan kestabilan negara. Ianya menuntut kematangan politik untuk melihat kepentingan yang lebih besar daripada sekadar persaingan kuasa atau kepentingan parti.

Agenda dan idea ini juga membuka ruang kepada kerjasama yang lebih strategik khususnya dalam usaha memperkukuhkan kedudukan politik melayu di samping memastikan suara rakyat terus diwakili dengan menyeluruh.

Agenda reset dan konsensus baharu ini membawa mesej yang jelas bahawa politik tidak boleh terus bersifat statik atau sama dan terus terperangkap dalam pendekatan lama.

Politik perlu berkembang menjadi lebih inklusif buat rakyat dan lebih menyeluruh dalam kerangka nasional tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama.

Dalam dunia politik hari ini, ada ketika sesuatu gerakan lama perlu diberhentikan untuk menilai keadaan sebelum memulakan langkah baharu dengan pendekatan yang lebih segar dan tersusun.

Inilah semangat yang cuba dibawa melalui agenda reset dan konsensus baharu ini. Cetusan gagasan ini jelas mempunyai nilai yang murni.

Akhirnya, agenda reset bukan soal siapa menang atau kalah dalam parti. Ia adalah usaha untuk membina semula arah perjuangan politik supaya lebih jelas, lebih kuat dan lebih relevan dengan cabaran masa depan negara.

Konsensus baharu pula bukan sekadar retorik politik. Ia memerlukan “Political Will” yang kuat daripada kepimpinan pembangkang untuk memastikan perubahan yang sebenar dapat dilaksanakan demi masa depan tanahair tercinta.

Ahmad Azarul, Aktivis Politik Generasi Muda

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Mati Tanpa Kubur

Sebagai salah seorang tenaga awal di sebalik penubuhan BERSATU saya berani kata lebih mudah mengajak orang keluar dari BERSATU sekarang ini berbanding ketika nak ajak mereka masuk BERSATU dulu.
Read More
Total
0
Share