
KUALA LUMPUR | 19 Mac 26 — Tindakan memecat atau menghukum pemimpin yang terlibat dalam pertemuan atas dasar penyatuan bangsa disifatkan sebagai terlalu keras, sekali gus mencetuskan persoalan tentang keutamaan sebenar dalam politik hari ini.
Timbalan Pengerusi Cendekiawan Negara, Prof Madya Ir. Dr Khairudin Md Isa berpandangan bahawa reaksi sedemikian tidak wajar sekiranya pertemuan yang berlaku tidak melibatkan rundingan rasmi antara parti.
Menurut beliau, perlu ada garis pemisah yang jelas antara usaha penyatuan bangsa dan kerjasama politik formal yang memerlukan mandat serta kelulusan parti.
“Jika intipati pertemuan itu adalah penyatuan bangsa, bukan kerjasama parti, maka tindakan seperti pemecatan adalah agak keras,” katanya kepada politiko.
Beliau menjelaskan, hanya perbincangan yang melibatkan jajaran politik baharu atau kerjasama rasmi antara parti memerlukan mandat kepimpinan tertinggi seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Sebaliknya, isu berkaitan kepentingan agama, bangsa dan negara tidak seharusnya terikat sepenuhnya kepada kerangka parti, malah wajar dibincangkan secara terbuka dengan pelbagai pihak.
“Ada perkara yang kita tidak sepatutnya terikat dengan parti. Kita boleh berbincang dengan sesiapa sahaja jika ia menyentuh kepentingan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau tidak menafikan bahawa sekiranya pertemuan tersebut melibatkan pembentukan jajaran politik baharu, maka keperluan mendapatkan mandat Presiden adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan.
Namun, beliau menegaskan bahawa tindakan terhadap seseorang pemimpin juga perlu dinilai berdasarkan kesannya kepada parti, bukan semata-mata kepada bentuk pertemuan itu sendiri.
“Jika ia tidak menjejaskan parti, sepatutnya tiada masalah,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairudin turut memberi bayangan bahawa langkah yang diambil mungkin didorong oleh kerangka pemikiran yang lebih besar, melangkaui kepentingan politik sempit.
“Mungkin ada usaha melihat kepentingan lebih luas demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Kenyataan ini dilihat mengukuhkan naratif bahawa tindakan disiplin terhadap pertemuan tertentu perlu dinilai secara lebih seimbang, khususnya apabila ia melibatkan agenda penyatuan yang lebih besar berbanding percaturan politik kepartian semata-mata.
Terdahulu, Muhyiddin dalam satu laporan menyatakan bahawa terdapat gerakan dalaman untuk merosakkan dan memecah-belahkan parti yang didakwa dilakukan oleh bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi antara punca utama pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata, Hamzah juga didakwa individu yang bertanggungjawab mengadakan pertemuan secara senyap dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan rundingan tanpa pengetahuan serta kebenaran parti.
Baru-baru ini, Hamzah dalam satu wawancara mendakwa bahawa pertemuan tersebut bukan atas kapasiti parti, sebaliknya ia berkaitan dengan agenda Payung Besar Melayu yang digerakkan oleh Tun Mahathir. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.