PMX Membisu: Dakwaan ‘Mafia Korporat’ Perlu Disiasat Segera — Wan Saiful

KUALA LUMPUR | 28 Mac 26 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan bahawa dakwaan terbaru berkaitan isu “Mafia Korporat” adalah pendedahan serius yang memerlukan tindakan segera, sambil menyorot sikap Perdana Menteri yang masih diam seribu bahasa.

Menurut beliau, kegagalan Perdana Menteri memberikan penjelasan menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat dan membayangkan kelemahan ketelusan dalam menangani isu berprofil tinggi yang melibatkan integriti serta tadbir urus kerajaan.

“Kenapa Perdana Menteri masih membisu? Dalam isu sebesar ini, kegagalan untuk menjawab soalan rakyat adalah pelik dan sukar difahami,” kata Wan Saiful.

Beliau menegaskan bahawa semua kontrak kerajaan dengan syarikat-syarikat yang didakwa terlibat, termasuk Nex G dan Hi Tech Padu, perlu digantung serta-merta sehingga siasatan penuh dan telus selesai. Ini bagi memastikan tiada konflik kepentingan atau salah laku berlarutan.

Dalam masa sama, individu bernama Victor Chin dilihat sebagai watak penting dalam isu ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan bahawa pihak berkuasa mengetahui lokasi beliau.

“Jika lokasi beliau sudah diketahui, mengapa tiada tindakan segera untuk membawa beliau pulang ke tanah air bagi membantu siasatan? Sekadar tahu di mana beliau berada tidak menyelesaikan masalah,” tambah beliau.

Wan Saiful turut menegaskan bahawa individu dikenali sebagai “Mr R”, yang disebut oleh Ahli Parlimen Pandan, juga perlu disiasat bagi menentukan kesahihan dakwaan penglibatan beliau. Sekiranya bukti sahih ditemui, kerajaan juga perlu menjelaskan berapa banyak syarikat atau individu yang telah menjadi mangsa sebelum ini.

“Rakyat berhak mendapat jawapan jelas dan tindakan tegas. Kerajaan tidak boleh terus berdiam diri dalam isu yang melibatkan kepentingan awam dan keyakinan terhadap institusi negara,” tegas beliau.

Tegasnya lagi, diamnya Perdana Menteri dalam isu besar ini menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan, sekaligus menekankan keperluan siasatan menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat. 

Baru-baru ini, satu dakwaan serius oleh ahli perniagaan, Victor Chin yang mendakwa seorang wakil rakyat daripada PKR telah menerima sebanyak RM9.5 juta sebagai sebahagian daripada urusan untuk campur tangan dalam isu yang dikaitkan dengan apa yang digelarnya sebagai “mafia korporat”. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share