
KUALA LUMPUR | 30 Mac 26 — PAS disaran mempertimbangkan langkah luar biasa dengan mengadakan referendum dalaman bagi menentukan pendirian parti itu sama ada menyokong kem Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kemelut dalaman Bersatu.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, pendekatan itu perlu memandangkan PAS kini dilihat berada dalam keadaan tersepit antara dua kelompok yang masing-masing mempunyai hubungan dan sumbangan tersendiri kepada parti.
Menurutnya, keputusan tersebut tidak boleh lagi ditangguhkan kerana ia memberi implikasi besar terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya umum akan datang.
“PAS dilihat berdepan dilema untuk memilih antara dua kumpulan ini. Justeru, satu mekanisme seperti referendum dalaman boleh dipertimbangkan bagi memastikan keputusan dibuat secara rasional dan mendapat mandat jelas,” katanya kepada politiko.
Beliau berkata, perbahasan secara terbuka di peringkat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat juga wajar dilakukan bagi menilai secara menyeluruh kelebihan dan kekurangan setiap pilihan sebelum keputusan dimuktamadkan.
Dalam masa sama, Ahmad Fauzi tidak menolak kemungkinan PAS masih mengharapkan penyatuan semula antara kedua-dua kem dalam Bersatu, namun mengingatkan bahawa strategi menunggu itu mempunyai risiko tersendiri.
“Jika keputusan terus ditangguhkan hingga hampir pilihan raya, ia boleh menggugat persiapan dan strategi PN secara keseluruhan,” katanya.
Tambahnya, keputusan yang bakal dibuat kelak berkemungkinan akan disandarkan kepada tekanan atau desakan akar umbi, sekali gus memberi ruang kepada kepimpinan untuk mengekalkan hubungan dengan mana-mana pihak yang tidak dipilih.
Perkembangan itu mencerminkan cabaran dalaman yang semakin ketara dalam PN ketika gabungan berkenaan berdepan keperluan memperkukuh kesatuan menjelang PRU16.
Terdahulu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam satu laporan berkata bahawa Perikatan Nasional (PN) perlu memilih “mudarat lebih kecil” antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan sekadar pandangan peribadi, tetapi isyarat jelas bahawa gabungan itu sedang berdepan krisis dalaman yang serius.
PN dilaporkan akan memuktamadkan status Ketua Pembangkang sebelum sidang parlimen, April ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.