Pelantikan Terrirudin ke JAC Kuasa Mutlak PM, Tegas Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR, 6 DIS 25 — Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegaskan bahawa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) memberikan kuasa prerogatif penuh kepada Perdana Menteri untuk melantik seorang Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai anggota kelima suruhanjaya itu, tanpa perlu merujuk kepada JAC. Pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, katanya, adalah bidang kuasa eksklusif Perdana Menteri dan tidak boleh dipertikai.

Beliau berkata tiada sesiapa, termasuk dirinya, boleh mempersoalkan keputusan tersebut kerana ia termaktub dalam undang-undang. Terirrudin kini salah seorang daripada sembilan anggota JAC dan telah menghadiri mesyuarat terakhir suruhanjaya itu. Wan Ahmad Farid menyampaikan kenyataan tersebut pada sidang media sempena 100 hari pelantikannya di Istana Kehakiman.

Ahmad Terrirudin, bekas Peguam Negara, dilantik untuk tempoh dua tahun bermula 15 November 2025 bagi menggantikan Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof yang bersara wajib. Pelantikan itu menimbulkan reaksi Majlis Peguam yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai ketelusan kerana Terrirudin bukan dalam kalangan hakim paling kanan di Mahkamah Persekutuan, bertentangan dengan konvensyen pelantikan.

Mengulas kebimbangan tersebut, Wan Ahmad Farid menegaskan bahawa penilaian terhadap hakim harus dibuat berdasarkan mutu penghakiman dan perilaku, bukannya senioriti semata-mata.

Baru-baru ini, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menzahirkan kebimbangan baginda terhadap pelantikan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sambil menekankan pentingnya badan itu kekal bebas. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share