
KUALA LUMPUR | 9 Apr 26 — Kenyataan lantang Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang membidas tuntutan “hak mutlak” terhadap kerusi dalam BERSATU membuka satu realiti yang dilihat parti itu kini dilihat semakin terperangkap dalam perebutan kuasa politik, berbanding fokus kepada keyakinan rakyat.
Memetik laporan FMT, Wan Fayhsal menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak boleh mendakwa sesuatu kerusi sebagai milik mutlak mereka. Sebaliknya, beliau menekankan bahawa faktor kebolehmenangan calon sepatutnya menjadi keutamaan utama dalam menentukan siapa yang layak bertanding.
Namun di sebalik seruan itu, mesej yang lebih besar mula terserlah — wujudnya ketegangan serius antara kem-kem dalam parti yang kini tidak lagi tersorok, malah semakin terbuka di pentas awam.
Pemerhati politik melihat kenyataan tersebut sebagai satu bentuk “tembakan terbuka” terhadap budaya BERSATU yang memberi kelebihan kepada kelompok tertentu untuk menguasai kerusi, tanpa mengambil kira realiti sokongan di lapangan.
Perebutan kerusi oleh BERSATU ini bukan sahaja berisiko melemahkan PN, malah boleh menjejaskan peluang untuk mempertahankan atau merampas kawasan strategik.
Persoalan kini, mampukah Bersatu menyusun semula keutamaan, atau ia akan terus tenggelam dalam perebutan kuasa yang semakin jelas di mata rakyat? @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.