
KUALA LUMPUR | 16 Apr 26 — Kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipersoalkan apabila Ahli Parlimen Lumut, Datuk Nordin Ahmad Ismail mendakwa pengaruh parti itu kini semakin mengecil dalam Dewan Rakyat.
Menurut beliau, jumlah sokongan terhadap Muhyiddin bukan sahaja merosot, malah didakwa lebih kecil berbanding Parti Amanah, selain turut ketinggalan di belakang kumpulan Ahli Parlimen Bebas.
“Dalam Dewan Rakyat, penyokong Muhyiddin kini lebih kecil dari Parti Amanah. Malahan, bilangan MP Bebas pun lebih ramai. Sudah tidak ada nilai,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu mencerminkan kritikan terbuka terhadap kepimpinan Muhyiddin, ketika Perikatan Nasional (PN) dilihat berdepan tekanan dalaman yang semakin ketara.
Dalam masa sama, Nordin mengaitkan situasi tersebut dengan keputusan Datuk Seri Hamzah Zainuddin melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, yang disifatkannya sebagai langkah untuk meredakan ketegangan dalam gabungan itu.
Beliau mendakwa tindakan Hamzah dibuat bagi mengelakkan BERSATU terus menjadi punca konflik dalaman, termasuk tekanan terhadap rakan komponen seperti PAS.
Mengulas lanjut, Nordin turut memberi amaran mengenai kemungkinan wujud usaha melemahkan PN dari dalam, termasuk melalui kemasukan elemen yang berbeza ideologi, yang disifatkannya sebagai “trojan horse”.
Perkembangan ini dilihat sebagai petanda jelas bahawa dinamika dalaman PN semakin rapuh, dengan perbezaan pandangan kini bukan lagi bersifat tertutup, sebaliknya dibangkitkan secara terbuka oleh pimpinan sendiri.
Februari lalu, Hamzah dipecat dari Bersatu dan baru-baru ini, beliau meletakan jawatan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang. Situasi PN kini menimbulkan persoalan lebih besar, sejauh mana kekuatan sebenar BERSATU dalam PN, dan mampukah gabungan itu kekal bersatu dalam menghadapi cabaran politik semasa. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.