
KUALA LUMPUR | 16 Apr 26 — Sebahagian kawasan di Pulau Sebatik seluas kira-kira 127.3 hektar dilaporkan kini berada di bawah pentadbiran Indonesia susulan penyelarasan semula garis sempadan darat antara Malaysia dan Indonesia.
Kenyataan tersebut dibuat oleh Ketua Staf Presiden (KSP), M Qodari, memaklumkan bahawa kawasan yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini sah menjadi milik Indonesia.
“Kepantasan menangani isu ini menyaksikan penyelesaian penegasan batas darat wilayah negara Indonesia dan Malaysia di Pulau Sebatik,” katanya dalam sidang media di Kompleks Istana Kepresidenan, Jakarta, pada Rabu.
Pulau Sebatik yang terletak di sempadan Kalimantan–Sabah sememangnya dikenali sebagai kawasan unik kerana sebahagiannya dibahagikan antara dua negara, dengan sempadan yang melintasi penempatan penduduk serta aktiviti ekonomi setempat.
Menurut laporan, penyelarasan terkini itu menyebabkan sebahagian kawasan yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada wilayah Indonesia, hasil persetujuan bersama melalui mekanisme rundingan sempadan dua hala.
Pihak Indonesia menyifatkan perkembangan tersebut sebagai pengukuhan kedaulatan hasil proses perbincangan berterusan, manakala pendekatan diplomatik kedua-dua negara terus ditekankan bagi memastikan hubungan baik tidak terjejas. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.