
PUTRAJAYA | 1 Apr 26 — Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya laporan Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri campur tangan dalam siasatan berhubung pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, dakwaan bahawa Perdana Menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan disifatkan tidak berasas.
Menurutnya, proses siasatan telah pun berjalan selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu.
“Prosiding telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan tertakluk kepada prosedur serta tatacara yang ditetapkan,” kata beliau dalam satu kenyataan, semalam.
Kerajaan turut menegaskan bahawa sebarang perkembangan lanjut berhubung siasatan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Peguam Negara dilaporkan akan mengambil tindakan susulan terhadap Bloomberg berhubung laporan yang disiarkan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, bertarikh 31 Mac 2026.
Terdahulu, agensi berita asing itu menyiarkan laporan mendakwa terdapat campur tangan dalam garis masa pendedahan siasatan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.