
KUALA LUMPUR | 16 Apr 26 – Lonjakan kadar pemberhentian pekerja sebanyak 47 peratus pada suku pertama 2026 dilihat sebagai isyarat awal tekanan serius terhadap asas pasaran buruh negara, yang kini didakwa mula menunjukkan tanda-tanda perubahan struktur.
Kira-kira 24,100 pekerja dilaporkan terjejas dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, satu peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Dr Armin Baniaz Pahamin, angka tersebut tidak lagi boleh dianggap sebagai turun naik biasa kitaran ekonomi.
“Lonjakan 47 peratus pemberhentian pekerja pada suku pertama 2026 bukan sekadar turun naik ekonomi, ia adalah bukti bahawa asas pasaran buruh negara sedang mula retak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa corak pemberhentian yang tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur, serta dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, menunjukkan tekanan berlaku pada teras utama ekonomi negara.
Menurut beliau lagi, situasi tersebut menandakan perubahan yang lebih mendalam berbanding sekadar kelembapan ekonomi sementara.
“Ini bukan turun naik kitaran, ini adalah perubahan arah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan paradoks apabila kadar pengangguran keseluruhan masih kelihatan stabil, walaupun jumlah pemberhentian pekerja meningkat dengan ketara.
Menurutnya, keadaan itu membuktikan indikator makro sedia ada semakin tidak mencukupi untuk menggambarkan realiti sebenar pasaran buruh.
“Apa yang kelihatan stabil di atas kertas, sebenarnya semakin rapuh di lapangan,” katanya.
Beliau turut menekankan isu ketidaksepadanan struktur apabila pekerja sektor formal kehilangan pekerjaan, namun sektor lain masih bergantung kepada tenaga kerja asing.
Katanya, keadaan itu bukan sekadar isu pasaran kerja, tetapi kegagalan penyelarasan antara dasar tenaga kerja, sistem pendidikan dan keperluan industri.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa kesan rantaian kepada kelas menengah boleh berlaku melalui penurunan kuasa beli dan keyakinan pengguna, yang seterusnya memberi impak kepada ekonomi domestik.
Dr Armin turut berpandangan bahawa pendekatan dasar semasa masih terlalu tertumpu kepada langkah jangka pendek dan naratif kestabilan, sedangkan perubahan struktur sedang berlaku.
“Malaysia tidak lagi berdepan kitaran ekonomi biasa. Negara sedang melalui satu peralihan struktur yang menuntut keberanian dasar, bukan sekadar pengurusan persepsi,” katanya.
Beliau menambah, tanpa reformasi menyeluruh dalam pendidikan, pembangunan tenaga kerja dan dasar industri, Malaysia berisiko terus terperangkap dalam model ekonomi kos rendah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.